KUALA LUMPUR: Khabar gembira yang dinanti-nantikan penyokong bola sepak tempatan khususnya penyokong Selangor FC hadir selepas pasukan itu akan mengadakan satu sidang media berkaitan Faisal Halim, esok.
Menerusi maklumat yang diterima BH Sukan, pemain sayap kebangsaan itu akan turut menghadiri sesi sidang media berkenaan.
Bagaimanapun, pasukan mengambil langkah keselamatan terbaik dengan kawalan keselamatan ketat akan diterapkan pada sidang media itu.
Perkembangan ini pasti menggembirakan penyokong bola sepak tempatan yang sebelum ini sentiasa mendoakan pemain itu dapat sembuh dengan cepat dan kembali beraksi di padang.
Terdahulu, pada 5 Mei lalu arena bola sepak negara dikejutkan apabila Faisal menjadi mangsa simbahan asid di pusat beli-belah di Kota Damansara.
Selepas mengharungi empat pembedahan sepanjang berada di hospital, penjaring gol terbaik Piala Asia itu dibenarkan keluar hospital pada 25 Mei lalu.
Berdasarkan laporan sebelum ini, pemain sayap berusia 26 tahun itu dijangka memerlukan tempoh antara tiga hingga enam bulan sebelum boleh kembali beraksi.