KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh teruja diberi peluang berlatih di Denmark bersama barisan pemain perseorangan menjelang Kejohanan Dunia 2025 yang dijadual berlangsung dari 25 Ogos hingga 1 September ini di Paris, Perancis.
Justin antara tiga pemain negara termasuk Leong Jun Hao dan K Letshanaa yang dibawa menyertai kem latihan berkenaan, di bawah kendalian Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen.
Tegas Justin, dia melihat ia sebagai peluang terbaik untuk dia menimba pengalaman sebagai persiapan untuk dia yang akan menyertai beberapa kejohanan lain selepas Kejohanan Dunia, selain turut berpeluang berlatih dengan lebih dekat dengan skuad kebangsaan Denmark.
“Memang sangat gembira sebab ini kali pertama saya berlatih dalam suasana berbeza, dan berpeluang training dengan pemain terbaik.
“Dengan peluang yang diberikan itu saya harap boleh tampilkan aksi terbaik dalam baki kejohanan tahun ini. Ia penting untuk perkembangan diri dan saya akan manfaat sebaik mungkin,” katanya.
Menurut Justin, selain menjadi medan menimba ilmu, latihan di Denmark juga sangat penting bagi membantunya mengekalkan momentum.
“Suasana latihan di Denmark begitu kompetitif dan mencabar, malah memberi banyak manfaat terutama dari segi menyesuaikan diri dengan corak latihan di peringkat antarabangsa.
“Peluang ini datang tepat pada masanya. Banyak kejohanan penting menanti saya dalam beberapa bulan akan datang, jadi saya nak gunakan sepenuhnya pengalaman ini untuk mantapkan prestasi,” katanya.
Terdahulu pemain berusia 21 tahun itu meraih pencapaian tertinggi dalam kariernya apabila muncul naib juara Terbuka Macau pada penampilan pertamanya di pentas final Jelajah Dunia.
Pada aksi final kejohanan berstatus Super 300 itu, Justin terpaksa akur apabila kalah straight set 15-21, 5-21 di tangan wakil Indonesia, Alwi Farhan.