KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta semua pihak untuk bersatu meraikan kejayaan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia yang memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.
Beliau berkata semua pihak perlu berhenti seketika membangkitkan isu menyelubungi pemain nombor tujuh dunia itu.
Katanya, pencapaian dilakar pemain berusia 26 tahun itu adalah sesuatu yang membanggakan dengan dia menjadi penyumbang kedua pingat buat kontinjen Malaysia di Paris selepas kejayaan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang turut meraih gangsa.
“Meraikan Lee Zii Jia, pemenang pingat gangsa kedua kita untuk Paris 2024!.
“Perbincangan tentang bersama persatuan berbanding menjadi pemain bebas boleh tunggu untuk hari lain. Buat masa ini, mari kita raikan kemenangan ini.
“Ya, memang ada sejarah dengan BAM (Persatuan Badminton Malaysia), ya, dia sekejap dalam RTG (Road to Gold) dan kemudian dia memutuskan sebaliknya dan kini dia sepenuhnya bebas, tetapi bolehkah kita sebagai sebuah negara berhenti sejenak dan meraikan hakikat bahawa anak muda ini sudah menempuh perjalanan yang panjang, bangkit semula dan kini berjaya ke podium Olimpik?” kata Hannah menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Zii Jia memenangi pigat gangsa selepas menewaskan pemain India, Lakshya Sen dalam pertarugan tiga set 13-21, 21-16, 21-11 pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, malam tadi.
Dalam pada itu, Hannah turut memuji jurulatih Zii Jia, Wong Tat Meng di atas peranan pentingnya dalam membimbing pemain itu melakar kejayaan.
sumber:-BH
“Syabas kepada jurulatihnya Wong Tat Meng kerana membantu Zii Jia sampai ke tahap ini,” katanya.