sukan

Biar berdebat, bertengkar dan bergaduh hari ini daripada menyesal di kemudian hari – Pekan

KUALA LUMPUR: Idea Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menswastakan skuad Harimau Malaya boleh dianggap sebagai satu anjakan paradigma untuk perkembangan skuad kebangsaan namun banyak perkara perlu diperhalusi bagi menjadikan ia satu kenyataan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli mengakui projek penswastaan sering dikaitkan dengan nilai yang baik untuk memacu sebuah organisasi supaya lebih berdaya maju dalam konteks ini, dan ia mampu memberi manfaat yang besar untuk meletakkan Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi.

Namun, Pekan juga tidak menolak kemungkinan akan timbul masalah hasil pelaksanaan idea ini apatah lagi pendekatan seperti ini jarang digunakan dalam pengurusan sesuatu pasukan kebangsaan yang selama ini sentiasa menjadi tanggungjawab badan induk bola sepak negara.

“Konsep penswastaan ini akan menghimpun kepakaran, dan menetapkan objektif dan pencapaian tertinggi menerusi penetapan sasaran dan indeks pencapaian prestasi yang boleh diukur dan dicapai.

“Namun dalam hal penswastaan pasukan bolasepak kebangsaan ini banyak perkara perlu diperhalusi dan diperkemaskan. Biar berdebat, bertengkar dan bergaduh hari ini daripada menyesal di kemudian hari.

“Pelbagai aspek dalam konteks ‘statutnya’, punca kuasanya, agihan tugas dan tanggungjawap masing-masing dengan badan induk kebangsaan iaitu FAM dan juga sebagai ahli gabungan FIFA, batasan masing-masing dalam pelbagai perkara asas yang perlu diperhalusi.

“Belum saya terdengar lagi atau ada yang saya terlepas pandang terdapat negara yang menswastakan pasukan bolasepak kebangsaannya. Namun di peringkat kelab-kelab di kebanyakan negara di Eropah sememangnya ini digalakkan dan sudah pun berlaku.

“Kita juga tidak mahu dengan kewujudan entiti baru ini turut akan mewujudkan satu kumpulan atau individu yang merasakan mereka adalah manusia hebat atau ‘new super power’ yang tidak pernah merasa rendah diri serta kononnya lebih mengetahui bagaimana untuk memajukan bolasepak negara ini.

“Akhirnya tiada bezanya bolasepak kita baik pada zaman amatur, semi pro dan profesional,” kata Pekan.

Terdahulu, sebaik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi memperkasakan skuad Harimau Malaya, Tunku Ismail melontarkan idea agar pasukan kebangsaan bergerak berasingan atau dalam erti kata lain diswastakan.

sumber:-BH

Perkara itu dikongsikan Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) di laman sosial miliknya apabila berkongsi sistem, peranan dan carta organisasi badan bebas itu.