sukan

Bidoglio bangga komitmen pemain belasah PDRM FC

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio merumuskan barisan pemain diturunkannya beraksi baik bagi memastikan kemenangan 4-0 ke atas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Malah katanya, pemain juga tampak bersabar apabila melancarkan serangan dan pantas mengambil kesempatan daripada kesilapan benteng skuad bimbingan P Maniam untuk menjaringkan gol walaupun mereka beraksi dengan corak permainan `berkampung’ di kawasan sendiri.

“Pemain berjaya mengikut perancangan taktikal yang diterapkan dan menguasai permainan dengan menggerakkan bola di posisi sayap kiri dan kanan yang memerangkap benteng lawan malah sering bersabar dan menunggu masa yang sesuai untuk melancarkan gerakan berbahaya.

“Yang utama pemain bermain secara berpasukan dengan membentuk kombinasi yang mantap di posisi tengah dan serangan malah saya tidak kisah siapa yang jaringkan gol kerana apa yang penting mereka beri 100 peratus komitmen di padang dan mereka buktikan segalanya.

“Kami berdepan situasi yang sukar apabila pasukan lawan beraksi di kawasan sendiri dengan meletak sembilan pemain di bawah malah mereka menggunakan taktikal dua barisan iaitu empat pemain di posisi tengah dan lima pemain di posisi pertahanan dan ia menyukarkan kami untuk menyusup masuk ke dalam kotak penalti lawan,” katanya.

Kemenangan itu penting buat JDT selepas mengumpul 55 mata hasil jaringan Jose Obregon pada minit ke-13 disusuli jaringan Corbin Ong pada minit ke-39 manakala Jese Rodriguez mencipta gol pada ke-54 dan Romel Morales menoktahkan kemenangan pada minit ke-81.

Harimau Selatan hanya memerlukan tiga mata lagi untuk dinobatkan selaku juara liga kali ke-11 berturut-turut.

Mengulas mengenai kehadiran tiga pemain import baharu iaitu Alvaro Gonzales, Jonathan Viera dan Roque Mesa, pengendali kelahiran Argentina itu menyifatkan ketiga-tiga pemain itu bakal menguatkan barisan JDT bagi mengharungi baki dua perlawanan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).

“Mereka amat penting untuk JDT kerana untuk aksi menentang Central Coast Mariners di Austraiia, kami tidak dapat menggunakan khidmat Murilo (Henrique), Juan (Muniz) dan Park (Jun-heong) yang digantung permainan akibat kad merah.

sumber:-BH

“Mengenai usia mereka yang mencecah 35 tahun, saya tidak nampak usia menjadi ukuran sebaliknya pengalaman luas mereka di peringkat liga yang berkualiti bakal beri impak positif dalam skuad JDT malah tiada guna jika pemain muda dipilih tapi tiada pengalaman,” ujar Bidoglio.