JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim, Hector Bidoglio akan menyenaraikan barisan terbaik apabila berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Cheras, malam esok.
Bidoglio berkata, walaupun menang selesa 3-0 pada aksi Liga Super yang menyaksikan Arif Aiman Hanapi meledak hatrik, minggu lalu namun beliau mengambil pendekatan berbeza apabila sekali lagi berdepan skuad kendalian Miroslav Kuljanac yang mungkin mengubah corak permainan mereka.
“Ia perlawanan berbeza antara saingan liga dan Piala Malaysia, bagi kami Piala Malaysia adalah trofi yang perlu dipertahankan dan kami perlu memberi fokus terhadap diri sendiri malah harus terus mempertingkatkan lagi kualiti permainan.
“Justeru kami perlu tampil dengan corak permainan yang agresif untuk mencari bekalan selesa sebelum menghadapi aksi timbal balik di gelanggang sendiri pada 21 Disember ini,” katanya.
Ditanya mengenai ketiadaan pemain tengah Shio Hong Wan yang agak lama tidak diturunkan, pengendali kelahiran Argentina itu mengesahkan pemain itu mengalami kecederaan dan masih dalam proses pemulihan.
“Hong Wan pemain penting bagi kami tapi dia mengalami kecederaan di kaki kanan dan saya berharap dia akan segera kembali menjalani latihan,” ujarnya.
Piala Malaysia
Suku akhir pertama
Esok
Perak mln Pahang, 8.30 mlm
KL City mln JDT, 9 mlm
Sabtu
NSFC mln TFC, 5 ptg
Ahad
Kuching City mln Sabah, 8.15 mlm