SHAH ALAM: Tonggak pertahanan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Ahmad Aysar Hadi Mohd Shapri menegaskan dia dan rakan sepasukan kini berada pada tahap terbaik untuk menghadapi Kelayakan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Thailand bermula awal bulan depan.
Menurut Aysar, skuad kendalian Nafuzi Zain sudah bersedia sepenuhnya untuk berlepas ke Bangkok esok bagi menjalani kem latihan serta siri aksi persahabatan menentang Oman dan Kuwait sebelum bermulanya kejohanan sebenar.
“Dari segi persiapan, kami semua sudah fokus sepenuhnya. Kami sudah bersedia untuk pergi ke Thailand dan melakukan persediaan di sana. Semua pemain tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya, ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-23, di Bukit Jelutong, semalam.
Pemain berusia 20 tahun itu menegaskan sasaran utama skuad Harimau Muda jelas, iaitu melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Arab Saudi tahun depan.
“Memang itu sasaran utama kami. Kekalahan di Jakarta sebelum ini kami jadikan iktibar. Kali ini kami anggap ia sebagai cabaran baharu dan semua rakan sepasukan tahu apa yang perlu dibuat,” katanya.
Ditanya mengenai kelemahan yang masih perlu diperbaiki, Aysar mengakui ia menjadi tanggungjawab jurulatih untuk menilai setiap aspek permainan pasukan.
“Banyak benda perlu diperbaiki. Kami sebagai pemain hanya ikut arahan jurulatih sepenuhnya. Apa saja yang diarahkan, kami ikut 100 peratus,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran di Bangkok nanti, Aysar mengakui laluan skuad B-23 tidak mudah kerana setiap pasukan yang bakal ditemui mempunyai misi sama iaitu layak ke Arab Saudi.
“Perlawanan kali ini pasti lebih sukar. Semua pasukan mahu layak ke Saudi, jadi kami kena buat yang terbaik,” katanya.
Skuad muda negara diundi dalam Kumpulan H bersama Lubnan, Mongolia dan tuan rumah Thailand iaitu satu kumpulan yang dianggap cukup mencabar.
Aysar turut ditanya sama ada dia lebih selesa berlatih di Malaysia sebelum berlepas atau terus mengadakan persiapan panjang di luar negara.
“Bagi saya, saya hanya ikut apa yang ditetapkan pasukan. Sebagai pemain, kami hanya patuh dan lakukan yang terbaik,” katanya ringkas.