sukan

Bojan Hodak puji ketangkasan luar biasa Sikh Izhan

KUALA LUMPUR: Di sebalik kesilapannya yang membuatkan Selangor FC (SFC) tewas pada minit akhir, namun penjaga gol Selangor FC (SFC), Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman mengagumkan pengendali Persib Bandung, Bojan Hodak.

Hodak mengakui penjaga gol berusia 23 tahun itu memperagakan aksi yang cemerlang apabila menjadi watak penting bagi mengelakkan SFC tewas dengan jumlah jaringan yang lebih besar pada pertembungan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam tadi.

Jelasnya, aksi kemas anak buahnya pada babak kedua jelas menyelamatkan pasukan itu selepas persembahan longlai yang menyaksikan mereka ketinggalan dua gol pada separuh masa.

“Kami terlalu santai dan bolos seawal minit kedua. Tetapi semuanya berubah selepas rehat di mana kami menjadi lebih agresif dan mula memenangi semua bola kedua.

“Kami mula menguasai permainan dan mencipta peluang. Cuma masalahnya, Sikh berada di situ dan dia menyelamatkan dua atau tiga percubaan yang sukar dipercayai.

“Kalau dia tidak dapat menyelamatkan beberapa percubaan yang dilakukan, kami sepatutnya menang dengan enam atau tujuh gol,” kata Hodak.

Bagaimanapun, Sikh Izhan melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya pada minit akhir apabila sepakannya untuk mengeluarkan bola terus ke kaki Adam Alis yang mudah menjaringkan gol kemenangan pelawat.

Dalam perkembangan sama, Hodak turut menegaskan mereka masih tidak boleh selesa meskipun kemenangan ke atas SFC itu meletakkan mereka berada di tangga teratas Kumpulan G.

“Secara teorinya, belum lagi (layak ke pusingan kalah mati). Kami perlu terus fokus untuk aksi seterusnya menentang Lion City Sailors di Singapura.

“Situasi sama juga berlaku ketika kami berdepan mereka sebelum ini di mana kami ketinggalan 0-2 sebelum menang 3-2.

“Jadi kami perlu lebih bersedia untuk aksi ini. Apabila perkara seperti ini berlaku lagi (kebangkitan), ia seperti satu keajaiban,” katanya.