SHAH ALAM: Kancah bola sepak Malaysia dianggap sedang berubah ke arah lebih baik, sekali gus mampu bersaing dengan negara lain khususnya di Asia Tenggara.
Perkara itu disuarakan legenda bola sepak Jepun, Keisuke Honda yang menyifatkan bahawa bukan sahaja Malaysia, malah negara lain di Asia Tenggara juga sudah semakin meningkat.
Bekas bintang kelab Itali, AC Milan itu turut melihat Indonesia sebagai antara contoh terbaik ketika ini apabila mampu bersaing di peringkat antarabangsa berdepan pasukan besar.
“Saya fikir ia bergantung kepada negara, beberapa negara di Asia Tenggara masih mencari peluang bagaimana untuk membangun termasuk juga Malaysia serta beberapa negara lain.
“Indonesia sudah melakukannya dengan baik sejak beberapa tahun dan saya fikir mereka ada peluang untuk menuju ke tahap lebih tinggi, sebab itu mereka beraksi baik sejak kebelakangan ini.
“Sebab itu saya begitu teruja untuk menjadi sebahagian daripada bola sepak di Asia Tenggara. Saya fikir ia sesuatu yang bagus di mana kuota pasukan Piala Dunia juga sudah pun meningkat,” katanya.
Honda berkata demikian ketika sidang media sempena aksi persahabatan antara Selangor dan Asia Warriors FC, di sini, hari ini.
Beberapa negara ASEAN mengambil pendekatan untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan negara masing-masing terutama dengan pengambilan pemain naturalisasi dan warisan.
sumber:- BH
Harimau Malaya turut diperkuatkan dengan pemain naturalisasi dan warisan termasuk lima bintang baharu, Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado.