Bangi: Bekas penyerang Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha, menyatakan sukan bukan sekadar medan merebut kejuaraan, sebaliknya menjadi platform penting yang mampu menyatukan pelbagai budaya dan merapatkan hubungan antara manusia.
Menurut Norshahrul atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo, pengalaman bermain di Liga Thailand membuka peluang untuk mengenali lebih dekat pemain yang dahulunya menjadi lawan di padang.
“Dulu masa mewakili Malaysia, bila lawan dengan pasukan Thailand atau Vietnam, memang kita anggap mereka sebagai musuh di atas padang.
“Namun, bila saya bermain di Liga Thailand, saya sendiri terkejut bila dapat tahu rakan sepasukan saya rupa-rupanya pemain dari skuad kebangsaan Thailand.
“Dari situ saya mula rapat dan lebih mengenali mereka. Hubungan yang dulunya tegang jadi lebih mesra.
” Itu bukti jelas bagaimana sukan boleh rapatkan orang, walaupun asalnya kita lawan,” katanya ketika ditemui di Majlis Game Changers , Antara Sukan dan Budaya, anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.
Norshahrul berkata, bola sepak adalah antara contoh terbaik sukan yang bukan sahaja menyatukan rakyat dalam satu negara, tetapi juga membina jambatan budaya antara negara serantau dan global.
“Kita biasa jumpa pasukan seperti Thailand dan Vietnam di pentas seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan kelayakan Piala Asia.
“Tapi bila dapat peluang bermain di luar negara, kita tengok sisi lain mereka. Kita belajar budaya mereka, cara mereka berlatih, cara mereka hidup.
“Dulu rasa macam jauh sangat, tapi bila duduk satu pasukan, semuanya berubah. Lebih mudah nak faham, lebih senang nak bekerjasama,” katanya.
Menurut Norshahrul, pengalaman itu juga banyak mendewasakan dirinya sebagai pemain dan individu, selain memberi peluang untuk memperluaskan jaringan hubungan dalam dunia bola sepak serantau.
“Saya anggap ini rezeki. Bukan semua pemain dapat rasa pengalaman macam ni. Kalau boleh, saya nak tengok lebih ramai pemain muda Malaysia diberi peluang ke luar negara, bukan saja untuk bermain, tapi juga untuk belajar dan berkembang,” katanya.
sumber:- HM
Majlis Game Changers di UKM itu menghimpunkan tokoh-tokoh sukan, seni dan budaya tanah air untuk berkongsi pengalaman bersama anak muda dalam usaha membina masa depan negara melalui kepelbagaian bidang.