KUALA LUMPUR: Pertembungan antara Perak FC dan Terengganu FC (TFC) di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, petang esok boleh dianggap sebagai pertarungan merebut penawar duka buat dua pasukan itu.
Ia susulan kedua-dua pasukan itu menerima nasib sama Sabtu lalu dengan Perak tewas 4-2 di tangan Sabah di Manjung, manakala TFC pula tunduk 1-0 kepada Kedah Darul Aman (KDA) di Alor Setar.
Skuad Bos Gaurus sudah pasti tidak rela sekali lagi dimalukan di halaman sendiri dan skuad Penyu pula tidak mahu menangis buat kali kedua di utara.
Kekalahan kepada Sabah memberi pengajaran berguna buat Perak untuk bangkit dengan pengendalinya, Yusri Che Lah menegaskan kesilapan sendiri menjadi punca mereka tersungkur.
“Kami perlu menilai kembali kekalahan itu untuk melihat di mana kami sebenarnya dan kami bukan pasukan yang begitu kuat. Namun, kami perlu berada dalam lingkungan lapan terbaik sebelum pusingan pertama berakhir,” kata Yusri.
Berdasarkan rekod pertemuan, ia lebih memihak TFC yang mana pasukan dari Pantai Timur itu tidak tewas kepada Perak dalam lapan pertembungan terakhir sejak 2021.
Dalam dua pertembungan musim ini juga, skuad Penyu mengatasi Perak 3-1 dalam aksi Liga Super sebelum menyingkirkan Bos Gaurus pada pusingan pertama Piala FA 2-1.
Bagaimanapun, rekod itu tidak boleh dijadikan jaminan untuk skuad kendalian Badrul Afzan Razali meneruskan rekod kemenangan ke atas Perak, apatah lagi TFC ketika ini berada dalam prestasi kurang baik.
TFC gagal meraih kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir mereka termasuk lima aksi Liga Super dan dua aksi Kejuaraan Kelab ASEAN.
Meskipun berada di kedudukan ketiga, namun TFC berkongsi 17 mata bersama pasukan tangga keempat, Sabah selain hanya berbeza satu mata dengan PDRM (kelima) dan dua mata di depan Perak (keenam) serta Kuching City (ketujuh).
sumber:-BH
Kali terakhir skuad Penyu meraih kemenangan ketika menewaskan KL City 2-0 dalam aksi liga, 10 Ogos lalu sebelum pengendalinya, Tomislav Steinbruckner meninggalkan pasukan itu awal bulan ini.