ISKANDAR PUTERI: Pertahanan kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies menolak tanggapan pertembungan menentang kelab K1 Liga Korea, Pohang Steelers pada aksi terakhir Kumpulan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam esok sebagai misi balas dendam.
Davies berkata, walaupun JDT pernah tewas dua kali pada aksi ACL yang berpusat di Bangkok, Thailand tapi ianya sudah menjadi sejarah dan kini skuad kendalian Hector Bidoglio sudah berwajah baharu dengan dibarisi pemain lebih berkualiti dan sedang berada di dalam momentum terbaik pada saingan ACLE.
“Ini bukan perlawanan membalas dendam dan skuad kali ini berbeza dengan barisan pemain ketika 2021 dan Pohang Steelers juga dibarisi pemain berbeza dan semua itu sudah berlalu sebaliknya ia perlawanan amat dinantikan kerana kami mahukan kemenangan bukan mahu balas dendam.
“Ia perlawanan penting bagi kami kerana kami bercita-cita tinggi dalam saingan ACLE musim ini untuk mara lebih jauh dan sejak dua dan tiga tahun ini banyak perubahan dilakukan bagi menguatkan skuad JDT mengharungi saingan kelab elit Asia.
“Kami memiliki skuad terbaik pada musim ini dan penampilan kami berdepan kelab dari Korea Selatan bakal beraksi corak permainan berintensiti tinggi dalam usaha memburu tiga mata walaupun secara perkiraan keputusan seri sudah memadai untuk layak,” katanya.
Pada pertembungan saingan ACL yang berpusat di Stadium Rajamangala, di Bangkok, Thailand, JDT tumpas dua kali kepada Pohang Steelers 1-4 dan 0-2 yang menyaksikan skuad dibimbing Benjamin Mora ketika itu gagal layak ke pusingan 16 pasukan terbaik.
Davies juga berkata, saingan ACLE begitu penting buat JDT yang sememangnya mahu terus konsisten bukan sahaja di peringkat liga domestik malah Asia.
sumber:-BH
“Kami mahu terus menyinar di peringkat Asia dan membuktikan betapa kualiti permainan yang dipratikkan setanding dengan kelab-kelab yang lebih berpengalaman dan menjadi kebanggaan buat setiap pemain di tahap bola sepak tertinggi di rantau Asia,” ujar Davies.