sukan

‘Bukan tiada langsung peluang pemain tempatan’

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, S Subramaniam menyifatkan kehadiran ramai pemain warisan dalam skuad kebangsaan dan peningkatan jumlah pemain import di pentas Liga Malaysia (Liga M) bukan alasan untuk pemain tempatan terus tenggelam.

Sebaliknya, dia yang pernah meraih beberapa kejuaraan terutama gelaran ‘treble’ bersama Kelantan pada 2012 menjelaskan, ia satu cabaran untuk pemain tempatan bangkit seperti yang ditunjukkan bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi.

Katanya, perubahan dalam era bola sepak negara termasuk kebenaran pendaftaran 15 pemain import oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan penambahan lima pemain warisan dalam skuad Harimau Malaya jelas meningkatkan nilai persaingan.

“Sekarang persaingan lebih sengit berbanding zaman saya, tapi itu bukan alasan untuk (pemain tempatan) tidak menyerah. Mereka perlu ambil Arif Aiman sebagai inspirasi, dia buktikan yang pemain tempatan masih boleh menjadi tonggak utama pasukan kebangsaan.

“Pemain tempatan kena buka fikiran dan gandakan usaha. Peluang mungkin kurang, tapi bukan tiada langsung. Mereka kena berani cabar diri dan percaya yang mereka juga layak bersaing dengan pemain import dan warisan,” katanya.

Sebelum ini, MFL mengumumkan semua kelab Liga M dibenarkan mendaftar 15 pemain import musim depan dengan tujuh pemain boleh beraksi di atas padang dalam satu masa menerusi komposisi empat terbuka, satu Asia dan dua ASEAN, manakala dua di bangku simpanan.

Selasa lalu, skuad kebangsaan pula diperkuatkan dengan ramai pemain warisan yang menyaksikan Harimau Malaya berjaya meratah Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

sumber:- BH

Pada perlawanan itu, hanya dua pemain tempatan iaitu Arif Aiman dan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed berada dalam kesebelasan utama, manakala Nazmi Faiz dimasukkan sebagai pemain gantian pada penghujung perlawanan.