KUALA LUMPUR: Tiada lagi kebergantungan kepada pemain berdarah campuran atau warisan luar negara bagi skuad bawah 23 tahun (B-23) dalam saingan Piala ASEAN B-23 2025.
Ketua jurulatih skuad muda negara, Nafuzi Zain mengesahkan hanya pemain tempatan akan dipanggil ke kem latihan pusat yang bakal bermula tidak lama lagi.
Katanya, keputusan itu dibuat untuk memberi ruang kepada pemain muda daripada Liga Malaysia menyerlahkan potensi mereka di pentas serantau.
“Kita hanya guna anak tempatan. Ramai pemain muda berpotensi, dan mereka perlu diberi peluang. Kita nilai berdasarkan karakter dan kesesuaian dengan corak permainan pasukan,” katanya.
Antara nama yang dijangka kembali menyertai skuad B-23 termasuk Haqimi Azim Rosli dan Ubaidullah Shamsul Fazili yang sebelum ini pernah bersama kem senior.
Turut menjadi perhatian adalah kemunculan beberapa pemain baharu yang belum pernah mewakili negara sebelum ini, termasuk daripada skuad B-19.
“Sesetengah mereka dah biasa dengan sistem B-23, tapi ada juga muka baharu yang kita nak cuba. Kita tak mahu terlalu bergantung kepada kelompok sama,” katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei, menjadikan ia satu-satunya kumpulan yang menampilkan empat pasukan.
Hanya juara kumpulan dan satu naib juara terbaik layak ke pusingan seterusnya, sekali gus menjadikan setiap aksi sebagai penentu penting.
Nafuzi berkata, semua pasukan dilihat seimbang namun fokus utama ketika ini adalah aksi pertama menentang Filipina.
“Perlawanan pertama sangat penting, itu akan tentukan momentum kita. Lepas itu baru kita fokus lawan Indonesia dan Brunei,” katanya.
sumber:- HM
Skuad negara dijangka berlepas ke Jakarta awal Julai selepas menamatkan kem latihan pusat yang akan berlangsung di sekitar Lembah Klang.