KUALA LUMPUR: Kegagalan skuad kedua negara melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran (BAMTC) di Qingdao, China adalah sesuatu yang perlu dipandang serius Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Malaysia terlepas tiket ke kelompok lapan terbaik selepas tewas dalam kedua-dua perlawanan Kumpulan B bertemu Hong Kong dan Indonesia dengan keputusan 2-3.
Bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Ong Ewe Hock berkata, kegagalan itu membuktikan pemain pelapis negara masih jauh ketinggalan di belakang barisan kedua negara lain.
“Kecuali Hong Kong, saya tengok pasukan lain semuanya menghantar pasukan kedua masing-masing.
“Walaupun pasukan lain hantar pasukan kedua, kita juga pasukan kedua tetapi kita masih tidak boleh menang. Ini umpama kita hantar pasukan ketiga sahaja.
“Jadi, dari situ kita sudah boleh nampak barisan pemain pelapis kita sebenarnya jauh ketinggalan berbanding pemain kedua negara lain.
“Ini sesuatu yang perlu dipandang serius yang mana pemain muda negara lain semakin meningkat tetapi tidak untuk pemain kita,” katanya kepada BH Sukan.
Menurut Ewe Hock, idea untuk menghantar pemain muda beraksi di kejohanan itu bagi mendapat pendedahan dan pengalaman adalah sesuatu yang positif.
Bagaimanapun, juara Terbuka Malaysia 1996 itu menimbulkan persoalan sama ada pengalaman yang diraih itu mampu memberi manfaat kepada pemain muda negara untuk lebih menyerlah di kejohanan pada masa depan.
“Inilah sebenarnya kelemahan kita, kita hantar pemain muda untuk dapatkan pengalaman tetapi selepas dua atau tiga kali, sepatutnya kita boleh nampak ada peningkatan tetapi saya lihat itu tidak berlaku,” katanya.
Justeru, Ewe Hock menggesa BAM supaya tidak sekadar melakukan post mortem susulan kegagalan di Qingdao sebaliknya ia perlu disusuli dengan tindakan yang lebih drastik.
“Setiap kali kita kalah, kita buat post mortem tetapi apa tindakan susulan selepas itu? Kita tidak boleh sekadar buat laporan sahaja.
sumber:-BH
“Selepas kita kenal pasti apa masalah atau kelemahan kita, perlu ada tindakan untuk kita atasinya. Kalau tiada sebarang tindakan diambil tahap pemain kita seperti itu sahajalah, tiada peningkatan,” katanya.