KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia berharap Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dapat memperkenalkan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) ke dalam sukan badminton sekali gus meningkatkan ketelusan serta ketepatan keputusan pengadil di gelanggang.
Juara dunia 2022 itu berkata, pelaksanaan teknologi seperti VAR yang ketika ini sedang digunakan dalam bola sepak amat penting khususnya dalam menilai keputusan servis yang kerap menimbulkan persoalan dalam kalangan pemain.
“Saya rasa mereka (BWF) boleh mempertimbangkan penggunaan VAR seperti dalam bola sepak. Terutamanya dalam hal servis, ia tidak sepatutnya hanya dinilai berdasarkan pandangan mata kasar pengadil servis semata-mata,” kata Aaron ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Aaron menjelaskan, ketinggian berbeza setiap pengadil servis turut mempengaruhi sudut pandangan mereka terhadap paras ketinggian servis yang dibenarkan iaitu 1.15 meter dari permukaan gelanggang.
“Kita kena faham, sudut pandangan mereka berbeza mengikut ketinggian masing-masing. Jadi, keputusan yang dibuat mungkin tidak konsisten untuk setiap pemain,” katanya.
Pada Terbuka Singapura awal bulan ini, Aaron dan gandingannya, Soh Wooi Yik berdepan situasi tidak diingini apabila servisnya dibatalkan pengadil ketika berdepan beregu Korea Selatan, Kim Win Ho-Seo Seung Jae di perlawanan akhir.
Selain aspek teknikal, Aaron turut menekankan kepentingan penambahbaikan dari segi pengurusan aspek perubatan ketika perlawanan sedang berlangsung.
Menurutnya, walaupun terdapat dakwaan bahawa sesetengah pemain menggunakan rawatan perubatan sebagai taktik untuk melengahkan permainan, namun majoriti pemain sebenarnya memerlukan rawatan segera kerana kecederaan memang benar-benar berlaku.
“Saya rasa perkara yang penting juga adalah dari sudut perubatan. BWF perlu lebih peka terhadap keperluan pemain ketika berada di dalam gelanggang.
“Kebanyakan pemain tidak berniat untuk melengahkan masa. Kalau kami minta rawatan, itu kerana kami benar-benar perlukan, sama ada semburan sejuk, balutan atau rawatan pantas untuk teruskan perlawanan.
“Ketika kami bermain di atas gelanggang, kami juga dapat melihat yang lawan kami benar-benar mengalami kecederaan lutut. Dan pengadil masuk ke gelanggang dan mereka berfikir mereka hanya cuba menangguhkan masa.
sumber:- BH
“Tetapi kami sebagai pemain dapat melihat dengan jelas mereka benar-benar cedera. Jadi mereka perlu lebih sensitif dengan perkara seperti ini,” kata Aaron.