sukan

Cabaran Pan Gon panggil pemain terbaik

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya seharusnya tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir Piala ASEAN 2024 yang akan berlangsung dari 23 November hingga 21 Disember depan.

Ia berdasarkan kedudukan ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan pasukan Thailand, Malaysia, Singapura, Kemboja dan pemenang aksi kelayakan sama ada Brunei atau Timor Leste yang diundi dalam Kumpulan A.

Malaysia yang berada di ranking ke-138 menjadi dua pasukan pilihan dalam kumpulan itu bersama juara bertahan, Thailand yang menduduki tangga 101 dunia.

Tiga lagi pasukan berada di ranking lebih bawah iaitu Singapura di kedudukan 155 dunia diikuti Kemboja (179) dan pemenang aksi kelayakan sama ada Brunei (194) atau Timor Leste (198).

Cabaran besar buat Harimau Malaya adalah mengenai skuad yang akan dimiliki ketua jurulatih, Kim Pan Gon bagi menghadapi kejohanan yang sebelum ini dikenali sebagai Piala AFF itu.

Persoalannya adakah Pan Gon boleh menghimpunkan pemain terbaik negara untuk Piala ASEAN 2024 kerana kejohanan itu berlangsung di luar kalendar FIFA.

Malah, Harimau Malaya juga dijangka sukar untuk mendapatkan khidmat pemain terbaik dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor yang akan bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) Elit dan ACL 2.

Pan Gon selepas proses undian di Hanoi, Vietnam, semalam menyatakan bahawa dia akan cuba untuk membawa skuad terbaik ke Piala ASEAN 2024.

“Kami akan cuba dapatkan pemain terbaik bagi membentuk skuad terbaik untuk bertarung dalam Piala ASEAN,” katanya.

Berbaki enam bulan sebelum kejohanan, persediaan awal harus dilakukan barisan kejurulatihan Harimau Malaya dalam memastikan skuad terbaik dapat dibentuk untuk menghadapi Piala ASEAN kali ini.

Untuk rekod, Malaysia hanya pernah sekali memenangi kejohanan itu pada 2010 di bawah kendalian Datuk K Rajagobal sejak ia diperkenalkan pada 1996.

Thailand memegang rekod pemenang terbanyak kejohanan apabila tujuh kali muncul juara termasuk edisi sulung pada tahun 1996, 2000, 2002, 2014, 2016, 2020 dan 2022.

Singapura muncul juara empat kali pada tahun 1998, 2004, 2007 dan 2012 diikuti Vietnam pernah dua kali meraih gelaran pada tahun 2008 dan 2018.