sukan

Cabaran sebenar Tang Jie-Ee Wei kini bermulaa — Liu Ying

Kejayaan bersejarah Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjulang gelaran juara dunia dalam acara beregu campuran di Kejohanan Dunia BWF 2025 bukan sahaja menjadi detik gemilang buat badminton Malaysia, tetapi turut membuka lembaran baharu dalam karier mereka yang kini berada di ranking ketiga dunia.

Bagi bekas pemain kebangsaan dan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Goh Liu Ying, pencapaian tersebut bukan penamat, sebaliknya permulaan sebenar buat gandingan muda yang digelar “Gangster Duo” oleh peminat kerana gaya permainan agresif dan berani mereka.

“Bergelar juara dunia adalah permulaan dalam perjalanan ke LA2028. Sebelum ini mereka sentiasa memburu lawan dan kali ini Tang Jie-Ee Wei akan memainkan peranan sebaliknya,” ujar Liu Ying yang pernah bergandingan dengan Tang Jie pada awal kariernya.

Liu Ying menegaskan bahawa cabaran sebenar bermula selepas bergelar juara. Setiap lawan akan mula meneliti corak permainan, strategi dan kelemahan pasangan ini, menjadikan mereka sasaran utama dalam setiap kejohanan.

“Saya percaya banyak pemain akan mula mengkaji corak permainan mereka. Risiko untuk jatuh ke perangkap ‘one-hit wonder’ itu sentiasa ada jika tidak bersedia,” katanya.

Jurulatih kebangsaan Nova Widianto turut mengakui bahawa komunikasi dan karakter seimbang menjadi kunci utama kejayaan mereka di Paris, selain kemampuan untuk menyesuaikan taktikal secara real-time.

Kemenangan ke atas pasangan China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam straight set 21-15, 21-14 di Adidas Arena, Paris bukan sahaja menamatkan penantian Malaysia untuk gelaran dunia dalam acara beregu campuran, tetapi juga menjadi hadiah Merdeka paling bermakna buat negara.

Sebelum ini, pencapaian terbaik Malaysia dalam acara ini hanyalah gangsa oleh Koo Kien Keat-Wong Pei Tty pada tahun 2006. Kini, Tang Jie-Ee Wei telah mengangkat status badminton Malaysia ke tahap baharu, menyertai senarai juara dunia bersama Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjuarai acara beregu lelaki pada 2022.

Dengan gelaran dunia di tangan dan sokongan penuh daripada program Road To Gold (RTG) serta insentif bernilai RM330,000 daripada pelbagai pihak, Tang Jie-Ee Wei kini berada di landasan tepat untuk menjadi pencabar pingat di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Ee Wei, yang pernah bergelut dengan masalah kesihatan dan hampir bersara, menyifatkan sokongan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) sebagai pemangkin utama kebangkitan semula beliau.

“Perjalanan saya tidak mudah, tapi saya bersyukur kerana diberi peluang kedua. Ini bukan hanya kemenangan saya, tetapi untuk semua yang percaya dan menyokong kami,” kata Ee Wei.