KUALA LUMPUR: Laman pencari bakat, frfuturetalents berkongsi 35 senarai pemain yang didakwa berdarah campuran Malaysia dan mungkin boleh mewakili Harimau Malaya.
Malah, laman berkenaan turut berkongsi senarai berkenaan kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerusi laman Instagram.
Perkongsian dibuat frfuturetalents selepas Tunku Mahkota Ismail berkongsi struktur organisasi dipercayai membabitkan unit khas yang akan menguruskan pasukan Harimau Malaya.
Senarai nama pemain yang dikongsikan itu dilihat kebanyakannya beraksi di liga Eropah terutama England termasuk bersama kelab Liga Perdana Inggeris.
Antara pemain yang disenaraikan itu termasuk pemain Chelsea berusia 26 tahun, Kiernan Dewsbury-Hall dan Marcus Tavernier yang beraksi bersama AFC Bournemouth.
Nama pemain Burnley FC, Josh Brownhill dan Zian Flemming turut berada dalam senarai itu selain Jamie Shackleton (Sheffield United), Taylor Moore (Bristol Rovers), Harvey Knibbs (Reading FC) dan Andy Smith (Hull City).
Selain itu, beberapa pemain yang beraksi di Belanda, Belgium dan Australia turut diletakkan dalam senarai itu.
Semalam, Tunku Mahkota Ismail menerusi InstaStory miliknya berkongsi struktur organisasi yang dipercayai unit baharu yang akan menguruskan Harimau Malaya.
sumber:- BH
Menerusi gambar yang dikongsikan Tunku Mahkota Ismail itu, terdapat posisi Bolasepak Antarabangsa/Penasihat Sukan diletakkan dalam struktur organisasi berkenaan.