sukan

Calon Presiden FAM boleh menang tanpa bertanding

KUALA LUMPUR: Hasrat peminat bola sepak tanah air untuk melihat pertarungan merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seakan tidak kesampaian.

BH Sukan difahamkan pertandingan bagi kerusi panas itu berkemungkinan tidak akan berlaku apabila hanya seorang calon sahaja mendapat pencalonan yang mencukupi.

Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang menjadi calon ‘hangat’ dijangka akan menang tanpa bertanding bagi jawatan nombor satu itu.

Semalam, media melaporkan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Syed Yazid Syed Omar mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding jawatan Presiden FAM pada kongres pemilihan badan induk itu pada 15 Februari ini.

Syed Yazid berkata pihaknya tidak menyatakan sebarang hasrat untuk merebut jawatan presiden pada kongres berkenaan, malah memberi sokongan sepenuhnya kepada Joehari sebagai peneraju FAM yang seterusnya.

Beliau yang juga EXCO FAM bagaimanapun dilaporkan menawarkan diri untuk bertanding sebagai Naib Presiden FAM pada kongres pemilihan itu dengan tempoh pencalonan akan berakhir, esok.

Bekas Ketua Jabatan Pemasaran dan Tanggungjawab Sosial FAM, Sayf Ismail yang sebelum ini menyatakan hasrat mahu bertanding merebut jawatan Presiden FAM menyifatkan ia sebagai perkara yang menyedihkan sekiranya benar tiada pertandingan bagi jawatan presiden.

“Kalau betul tiada pertandingan, kita kena terima bahawa demokrasi seakan tidak wujud dalam bola sepak kita walaupun ada antara ahli gabungan yang memang inginkan perubahan.

“Apa-apa pun kita tunggu sahaja pengumuman rasmi daripada FAM mengenai keputusan pencalonan itu nanti,” katanya kepada BH Sukan.

Hanya 18 ahli gabungan yang layak untuk menyertai pemilihan barisan kepemimpinan baharu FAM ketika ini selepas Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) digantung.

Bagi jawatan presiden, enam pencalonan diperlukan daripada ahli gabungan manakala timbalan presiden pula perlukan lima pencalonan diikuti naib presiden (empat pencalonan) dan Exco (dua pencalonan).

sumber:-BH

Malah, berdasarkan sumber yang diperolehi, dua jawatan bagi Timbalan Presiden FAM juga didakwa berkemungkinan tidak akan ada pertandingan.