HARSEWINKEL, Jerman: Pemain pertahanan Portugal, Joao Cancelo sedia menebus kekecewaan apabila terlepas aksi Kejuaraan Eropah terdahulu bila mana pasukan negaranya memulakan kempen 2024 awal pagi Rabu ini.
Cancelo digugurkan sejurus sebelum kejohanan Euro 2020 selepas diuji positif COVID-19, sesuatu yang dikatakannya masih menghantui dirinya.
“Ia tidak adil, kerana saya mempunyai musim yang hebat, saya berasakan saya patut berada di sana tetapi kehidupan tidak membenarkannya,” katanya kepada wartawan semalam.
“Mungkin saya perlu menunggu saat ini untuk menebus semua kekecewaan itu,” kata pertahanan kiri yang menghabiskan musim lalu secara pinjaman di Barcelona dari Manchester City.
“Tidak kira berapa banyak kelab saya beraksi, pasukan kebangsaan adalah kemuncak karier saya kerana saya mewakili keluarga, rakan-rakan yang bermain dengan saya di jalanan,” ujarnya.
“Ia sering kali menjadi kemuncak, sama ada ia perlawanan persahabatan atau kejohanan utama.”
Cancelo, yang meraih penampilan pertama daripada 54 cap pada tahun 2016, dijangka diturunkan awal pagi Rabu ini apabila Portugal membuka tirai kempen menentang Republik Czech dalam Kumpulan F di Leipzig.
“Kami mahukan permulaan yang bagus, bermula langkah kanan dan saya berasakan kami mempunyai pasukan untuk melakukannya. Ada banyak perkembangan positif, kami di landasan yang baik tetapi hanya keputusan akan memberitahunya.”
Bagaimanapun, di peringkat kelab ini adalah masa yang tidak menentu buat pemain berusia 30 tahun itu.
Akhbar sukan Sepanyol melaporkan pada hujung minggu dia mungkin kembali ke City jika Barca tidak boleh memuktamadkan perpindahan secara tetap.
“Dari hari pertama saya di sini, saya lupa semua itu,” kata Cancelo membalas pertanyaan mengenai tindakannya selepas Euro 2024.
sumber:-BH
“Saya 100 peratus fokus terhadap pasukan kebangsaan, 100 peratus fokus untuk membantu Portugal,” katanya. – REUTERS