sukan

Careca kini dalam radar TFC

KUALA TERENGGANU: Pemain kelahiran Brazil, Raianderson da Costa Morais kini berada dalam radar Terengganu FC (TFC) dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-26.

Malah hasil pencarian dalam Wikipedia, pemain berusia 30 tahun itu sudah dimasukkan sebagai pemain import Terengganu musim baharu ini.

Bekas pemain tengah Perak yang lebih mesra dipanggil ‘Careca’ itu dikhabarkan bakal menandatangani perjanjian dengan skuad Penyu itu tidak lama lagi jika semua proses berjalan dengan lancar.

Menurut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), pemain Perak FC musim 2019-2021 itu bakal beraksi di jentera tengah bagi menggantikan posisi bekas import musim lalu, Manuel Ott yang tidak disambung kontrak.

“Jika semua dokumen selesai, berkemungkinan besar bekas pemain Perak itu bakal menjadi pemain import kedua skuad Penyu musim ini selepas pemain kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov yang dikekalkan.

“Tapi pengesahan sebenar akan dimaklumkan pengurusan TFC sama ada pemain itu akan menyarung jersi skuad itu ataupun sebaliknya.

“Kita tunggu dan lihat perkembangan selain mengharapkan peminat setia tidak membuat sebarang spekulasi yang bukan-bukan,” kata sumber itu ketika dihubungi NSTP.

Terdahulu kelibat pemain berketinggian 1.84 meter itu menjadi bualan peminat setia skuad Penyu dalam laman sosial dengan harapan pemain yang meledak 11 gol sepanjang 28 penampilannya bersama skuad The Bos Gaurus mampu menjadi watak penting dalam pasukan.

sumber:- BH

Sebelum ini pengurusan TFC memaklumkan pihaknya akan mengumumkan senarai semua pemain tempatan dan import sebelum 5 Julai ini dalam mengharungi saingan Liga Super bermula 8 Ogos ini.