sukan

CEO enggan menabur janji manis isu kewangan

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi enggan menabur janji manis bahawa isu kewangan dan tunggakan gaji yang dihadapi beberapa pasukan Liga Malaysia (Liga M) boleh diselesaikan sekelip mata.

Sebaliknya, Rossi yang baru diumumkan sebagai CEO MFL yang baharu pada Khamis lalu menjelaskan perkara itu perlukan kajian secara terperinci sebelum langkah terbaik dapat dilaksanakan termasuk mengadakan perbincangan bersama kelab.

Malah, beliau yang juga bekas Delegasi LaLiga di Malaysia berkata, MFL juga sebelum ini sudah mengambil langkah awal dengan memperkenalkan ‘Financial Fair Play’ sebagai proses untuk menyelesaikan isu kewangan dan tunggakan gaji pemain.

“Ia cabaran untuk semua orang, saya sedar mengenai masalah gaji dan kewangan (pasukan). Tapi saya percaya bahawa perkara ini perlu dianalisa, kami perlu selesaikan perkara ini dan Financial Fair Play sedang dilaksanakan.

“Kita perlu faham bagaimana kita boleh tingkatkan status kewangan liga. Namun ia bukan benda yang kita boleh selesaikan esok, tidak. Kita perlu masa, dengan transisi FA kepada FC dan selepas itu COVID-19, perancangan tidak mengikut apa yang diharapkan.

“Jadi sekarang dengan perancangan yang ada, isu ini kita perlu analisa. Tapi saya di sini bukan untuk membuat janji atau saya sekarang sebagai penyelesaian. Jika saya berkata begitu, saya akan berbohong.

“Penyelesaian akan datang selepas kami membuat penilaian, bercakap dengan kelab, melakukan kajian terhadap proses terutama Financial Fair Play. Tapi saya bukan orang yang datang ke Malaysia, orang asing buat kali pertama (dilantik CEO MFL) untuk katakan atau berjanji sesuatu,” katanya.

Rossi yang menggantikan tempat Datuk Stuart Ramalingam yang tamat kontrak bulan lalu berkata demikian pada majlis ramah mesra bersama media, di sini hari ini.

Isu kewangan dan tunggakan gaji yang dihadapi pasukan sudah lama bersarang dalam kancah Liga M dan penyakit itu dilihat semakin parah musim ini apabila turut menyerang beberapa pasukan ternama.

Sebelum ini, pasukan seperti Kuala Lumpur City dan Kedah Darul Aman dilaporkan berdepan masalah dalam pembayaran gaji pemain selain beberapa pasukan lain turut dibelenggu isu sama.

sumber:-BH

Malah, BH Sukan sebelum ini turut melaporkan bahawa terdapat pemain dan pegawai dalam sebuah pasukan Liga Super dari Pantai Timur dihalau dari rumah sewa kerana tidak mampu untuk membayar sewa susulan tidak mendapat gaji.