BEBERAPA bekas pemain yang lantang bersuara di media sosial berhubung tunggakan gaji musim lepas, didapati masih belum hadir pada sesi perbincangan rasmi bersama pengurusan Kelantan The Real Warriors (TRW).
Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan TRW, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, pihaknya tidak menafikan isu tunggakan bayaran gaji berkenaan, namun menegaskan proses penyelesaian sedang dijalankan secara berperingkat melibatkan pertemuan formal antara kelab dan bekas pemain.
Menurutnya, lebih 10 kes berjaya diselesaikan, bagaimanapun masih ada yang belum selesai disebabkan pemain terbabit tidak hadir apabila dipanggil.
“Minggu lepas kami sudah panggil mereka secara rasmi melalui notis. Ada yang hadir dan selesai, yang tidak hadir, sudah tentu belum selesai.
“Kenapa tak selesai? Bukan sebab kami tak nak selesai, tapi sebab belum berjumpa. Takkan nak selesaikan hanya melalui WhatsApp. Ini perkara serius. Kalau serius, kena jumpa secara formal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa pemain yang mendakwa masih belum menerima bayaran gaji walaupun pengurusan baharu kini memulakan usaha penyelesaian sejak awal Jun lalu.
Beliau ditemui ketika menghadiri sesi latihan pertama pemain baharu Kelantan TRW di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Selasa.
Turut hadir, Penasihat Kelantan TRW, Tan Sri Annuar Musa dan Pengendali Kelantan TRW, E Elavarasan.
Irwan Rizal berkata, pengurusan tidak pernah menutup ruang perbincangan malah akan terus memanggil pemain-pemain yang terlibat secara rasmi bagi mengelakkan timbul sebarang dakwaan tidak berasas.
“Walaupun pemain yang bersuara di media sosial belum hadir untuk berbincang secara rasmi, tapi kami tidak ambil sikap bermusuh.
“Mereka ada hak bersuara dan kami faham. Tapi kita juga ada tanggungjawab dan prosedur. Datang jumpa, jangan hanya ‘bising’ di luar, tapi senyap apabila dipanggil,” katanya lagi.
Irwan Rizal menambah, ada pemain yang tampil berjumpa dan berjaya menyelesaikan isu masing-masing dalam tempoh yang singkat, termasuk selepas sesi pagi dan malam terus melalui beliau sendiri.
“Kami tak boleh hanya buat panggilan telefon, itu tak rasmi. Sekarang kami keluarkan notis betul-betul. Ada tarikh, tempat dan catatan rasmi, supaya kemudian tiada lagi yang kata kami tak panggil.
“Yang cepat jumpa, cepat selesai. Kami terbuka, bukan untuk berbalah, tapi untuk selesaikan masalah,” katanya.
Irwan Rizal turut menjelaskan bahawa pengurusan baharu TRW tetap mengambil tanggungjawab untuk melunaskan tunggakan gaji walaupun ia berlaku semasa pentadbiran sebelum ini.
Beliau turut mengesahkan ada pemain yang meminta kontrak disambung semasa proses perbincangan gaji, namun perkara itu akan dirujuk kepada ketua jurulatih.
Mengulas soal penjenamaan semula pasukan, beliau berkata, perubahan nama daripada Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) kepada Kelantan The Real Warriors merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula keseluruhan pengurusan kelab.
“Apabila ubah struktur mestilah termasuk pemain, sistem, pentadbiran dan jenama juga perlu diubah. Itu perkara biasa dalam mana-mana organisasi korporat,” katanya.
Beliau menjelaskan, isu nama hampir sama dengan KRW FC bukan perkara besar kerana semua pasukan berada dalam ‘keluarga bola sepak Kelantan’.
“KRW pun pakai Warriors, tapi kita bukan saingan, kita keluarga.
sumber:- SH
“Malah malam tadi kami tandatangan memorandum persefahaman dengan semua kelab dari Kelantan yang bertanding dalam liga. Itu bukti kami tidak anggap sesiapa sebagai musuh,” katanya.