sukan

‘Cepat berasa puas boleh jadi punca kejatuhan’ – Rexy

KUALA LUMPUR: Di sebalik prestasi memberangsangkan barisan beregu lelaki negara, Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky memberi peringatan tegas kepada pemain supaya tidak terlalu selesa dan cepat berpuas hati.

Menurut Rexy, laluan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 masih panjang dan banyak cabaran yang bakal diharungi, justeru pemain perlu mengekalkan semangat untuk terus bekerja keras dan memperbaiki prestasi dari semasa ke semasa.

“Memang saya berpuas hati dengan pencapaian pemain ketika ini, tapi kami tidak boleh terlalu selesa. Banyak lagi kejohanan yang perlu ditempuhi dan laluan ke Olimpik masih jauh.

“Kalau kita terlalu cepat berasa puas, itu akan jadi punca kejatuhan. Tapi jika kita kekalkan semangat dahagakan kejayaan dan terus bekerja keras dari sekarang, saya yakin dengan sokongan semua pihak, kita ada peluang menang emas pertama di Olimpik 2028,” katanya.

Ketika ini, Malaysia mempunyai empat beregu lelaki dalam kelompok 25 terbaik dunia, satu perkembangan yang dianggap positif untuk misi melayakkan dua wakil ke Olimpik.

Mengikut peraturan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), setiap negara dibenarkan menghantar maksimum dua wakil dalam acara beregu ke temasya Olimpik, dengan syarat kedua-dua pasangan itu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia sebaik tempoh kelayakan tamat.

Beregu profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menghuni ranking nombor satu dunia, diikuti Aaron Chia-Soh Wooi Yik (kedua), Man Wei Chong-Tee Kai Wun (ketujuh) dan Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi (ke-24).

Rexy melihat persaingan sihat antara keempat-empat pasangan ini mampu mengangkat lagi tahap permainan masing-masing dan meletakkan Malaysia pada kedudukan lebih kukuh dalam perebutan tiket ke temasya itu.

“Ketika ini kita ada dua beregu di kedudukan dua teratas dunia. Di belakang mereka pula ada Wei Chong-Kai Wun serta Arif-Roy King.

“Ini perkembangan yang baik kerana ia memberi keyakinan kepada pemain dan pada masa sama memberi tekanan kepada negara lain.

“Kami mensasarkan empat pasangan ini mampu berada dalam kelompok empat terbaik dunia menjelang Olimpik 2028. Itu akan membuka persaingan sihat merebut dua tempat ke temasya berkenaan,” kata Rexy.

Musim ini menyaksikan prestasi cemerlang daripada pemain beregu lelaki negara dengan Sze Fei-Izzuddin melonjak ke ranking nombor satu dunia, manakala Aaron-Wooi Yik merangkul tiga kejuaraan – Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.

Wei Chong-Kai Wun pula muncul juara Masters Indonesia dan Masters Malaysia, manakala Roy King-Arif terus menunjukkan potensi selepas digandingkan sejak tahun lalu.

Dua beregu – Aaron-Wooi Yik dan Wei Chong-Kai Wun berada dalam program Road to Gold (RTG) dalam misi memburu pingat emas pertama negara di Olimpik.

Turut menyertai RTG ialah Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran), manakala pasangan profesional Sze Fei-Izzuddin serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (beregu campuran) masih belum memuktamadkan penyertaan mereka.

sumber:- BH

“RTG ini dimulakan lebih awal berbanding negara lain dan itu satu kelebihan. Tapi ia tetap bergantung kepada usaha pemain. “Kalau mereka kekal berdisiplin dan tidak cepat berasa cukup, saya percaya kita ada peluang untuk memenangi emas,” kata Rexy.