LONDON: Chelsea membayar 75.14 juta pound (RM446.24 juta) untuk yuran perantara dan ejen sepanjang tahun lalu, hampir 20 peratus daripada jumlah keseluruhan dibelanjakan kelab-kelab Liga Perdana Inggeris.
Dalam laporan dikeluarkan Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris itu, kelab-kelab Liga Perdana Inggeris membelanjakan 409.5 juta pound (RM2.43 bilion) untuk yuran perantara dan ejen sepanjang tempoh 12 bulan bermula dari 1 Februari 2023.
Manchester City di tangga kedua dengan perbelanjaan sebanyak 60.62 juta pound (RM360.04 juta) diikuti Manchester United, Liverpool dan Arsenal dengan purata 30 juta pound (RM178.17 juta) setiap pasukan.
Namun perbelanjaan Chelsea untuk yuran ejen sahaja melebihi mana-mana kelab liga tertinggi Inggeris dalam perpindahan pemain.
Ia turut mengatasi jumlah keseluruhan dibayar kelab-kelab Liga Kejuaraan untuk yuran ejen.
Transaksi berkenaan termasuk pembelian pemain baharu dan perpindahan keluar pemain atau pembaharuan kontrak pemain-pemain sedia ada.
Selepas Chelsea diambil alih oleh Todd Boehly dan Clearlake Capital, mereka mengutamakan kontrak jangka panjang untuk pemain-pemain muda, berbelanja lebih 1 bilion pound (RM5.94 bilion) dalam yuran perpindahan sejak membeli kelab pada Mei 2022.
sumber:-BH
Bagaimanapun Chelsea bergelut mengulangi kejayaan di bawah pemilik lama, Roman Abramovich, dengan kelab London itu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat ke-12 musim lalu dan berada di tangga kesembilan musim ini. – REUTERS