sukan

Cheng Hoe bakal tambah ‘Taring’ baharu perkuat Harimau Malaya

Dua aksi persahabatan Tier 1 di Guangzhou, China bulan depan bakal menjadi medan penting buat pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memperkemas ramuan pasukannya sebelum mengharungi cabaran akan datang.

Bukan sekadar memburu keputusan positif, Tan Cheng Hoe mahu menggunakan peluang berdepan China dan Yaman itu untuk mengekalkan momentum peningkatan skuad kebangsaan, selain memperkukuh keserasian antara pemain dalam usaha membentuk pasukan lebih mantap.

Justeru, beliau memberi bayangan dua atau tiga pemain tambahan bakal dipanggil menyertai skuad kebangsaan bagi meningkatkan kekuatan pasukan menjelang tugasan berkenaan.

“Perlawanan persahabatan ini memang kita ada sasaran. Kita mahu kekalkan momentum dan mendapatkan keputusan positif serta yang terbaik untuk pasukan.

“Kalau lihat dari segi peningkatan pasukan, kita sudah nampak perkembangannya. Jadi, kita mahu kekalkan dan akan memanggil dua atau tiga pemain lagi untuk menambah kekuatan pasukan serta memantapkan keserasian,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Cheng Hoe mengakui kehilangan pemain sayap, Faisal Halim yang tidak dapat bersama pasukan kali ini memberi kesan kepada pilihan di posisi berkenaan, sekali gus membuka ruang untuk pemain lain mengisi kekosongan itu.

Katanya, pihaknya berkemungkinan memanggil beberapa pemain bagi menggantikan Faisal, selain mengharapkan setiap tonggak yang menyertai skuad kebangsaan mampu memberikan impak terbaik kepada pasukan.

“Memang kita rasa sayang juga kehilangan Faisal Halim dalam posisi tersebut. Mungkin kita ada pengganti Faisal dan kita mengharapkan pemain yang bersama skuad kebangsaan dapat memberikan impak terbaik untuk pasukan,” katanya.

Cheng Hoe berkata, kem latihan pusat seterusnya dijadual bermula pada 9 November ini, selepas aksi separuh akhir Piala FA, ketika saingan liga berehat bagi memberi laluan kepada jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Tempoh berkenaan bakal dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan kejurulatihan untuk mempersiapkan pemain sebelum berlepas ke China bagi menghadapi dua ujian penting itu.

Skuad Harimau Malaya dijadual menentang tuan rumah China pada 14 November sebelum berdepan Yaman tiga hari kemudian, iaitu pada 17 November, dalam aksi persahabatan Tier 1 di Guangzhou.

Berdasarkan kemas kini ranking FIFA yang dirujuk dalam maklumat kejohanan, China berada di tangga ke-96 dunia, manakala Malaysia di kedudukan ke-133 dan Yaman ke-144, sekali gus menyediakan peluang buat skuad negara menguji kemampuan menentang lawan yang mempunyai kedudukan berbeza dalam ranking antarabangsa.

Selain menguji kekuatan semasa, aksi berkenaan turut penting dalam usaha mengumpul mata ranking FIFA, yang boleh mempengaruhi kedudukan Malaysia dalam proses undian bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2032.