sukan

Cheng Hoe dedah punca Wan Kuzain tidak dipanggil

Pengendali interim skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengesahkan pemain kelahiran Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal tidak akan dipanggil menyertai kem negara bagi menghadapi saingan Piala ASEAN FIFA 2026 yang dijadual berlangsung dari 24 September hingga 5 Oktober ini di Jakarta, Indonesia.

Cheng Hoe bagaimanapun mengakui Wan Kuzain memiliki keupayaan tersendiri yang cukup baik selepas pemain tengah Sporting JAX itu sebelum ini diberi peluang membuat penampilan bersama skuad kebangsaan.

Menurutnya, keputusan tidak menyenaraikan pemain berusia 28 tahun itu bukan kerana beliau meragui kemampuan Wan Kuzain, sebaliknya disebabkan persaingan yang cukup sengit di posisi tengah pada kem kali ini.

“Wan Kuzain memang mempunyai keupayaan tersendiri dan saya akui dia adalah pemain yang bagus.

“Tetapi pada masa ini kita mempunyai ramai pemain di posisi tengah. Jadi, saya mahu dia terus memberikan fokus sepenuhnya kepada kelabnya di Amerika Syarikat dan berusaha meningkatkan lagi aspek permainan yang ada,” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, Wan Kuzain melakukan debut sulung bersama skuad negara dalam saingan Piala ASEAN 2026 pada Julai lalu.

Ibu bapanya rakyat Malaysia yang sudah menetap lebih 30 tahun di Carbondale, Amerika Syarikat membolehkan Wan Kuzain menyarung jersi negara dan kehadirannya memberi impak berkesan kepada skuad Harimau Malaya.

Hasilnya dalam saingan itu, pemain yang pernah dipanggil menyertai kem latihan skuad remaja Amerika Syarikat itu membuka akaun jaringan di pentas antarabangsa bersama Malaysia apabila meledak menerusi sepakan percuma cantik ketika menentang Laos dalam saingan Piala ASEAN itu.

Ujar Cheng Hoe lagi, Wan Kuzain masih mempunyai masa untuk terus berkembang dan membuktikan dirinya sebelum kembali menjadi sebahagian daripada perancangan skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Katanya, apa yang lebih penting buat pemain berkenaan ketika ini adalah mendapatkan minit permainan yang konsisten bersama Sporting JAX selain terus memperbaiki beberapa aspek permainannya.

“Dia perlu terus bekerja keras dan meningkatkan lagi permainan. Saya percaya dia boleh menjadi antara pemain terbaik untuk negara selepas ini.

“Jadi, buat masa ini biarlah dia memberikan tumpuan kepada kelab dan terus meningkatkan prestasinya,” katanya.

Skuad Harimau Malaya bakal menyertai Piala ASEAN FIFA 2026 dengan anak buah Cheng Hoe diletakkan dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Singapura dan Bangladesh, sekali gus bakal berdepan saingan sengit untuk memburu tiket ke final kejohanan sulung berstatus FIFA itu.