Kuala Lumpur: Bekas pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe enggan mengulas lanjut mengenai peranan baharunya dalam pengurusan skuad Harimau Malaya ketika ini.
Difahamkan, Cheng Hoe kini bergelar Pengarah Teknikal bagi skuad kebangsaan babitkan pengurusan baharu di bawah kawal selia Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Kata Cheng Hoe, beliau enggan mendahului Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan biarlah badan induk bola sepak negara itu sendiri yang mengumumkan secara rasmi.
“Tunggu dan biarlah pihak FAM mengumumkan secara rasmi,” katanya ringkas ketika ditanya berkenaan jawatan disandangnya bersama skuad Harimau Malaya.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan bekas jurulatih Selangor FC itu membuat kemunculan semula dalam arena bola sepak tempatan sebagai Pengarah Teknikal.
Difahamkan, beliau sudah memulakan tugas baharunya itu sejak minggu lalu namun ia masih dirahsiakan oleh FAM.
Walaupun tidak pernah memikul tanggungjawab itu, pengalaman luasnya dalam liga domestik dilihat cukup penting dalam membantu skuad negara.
sumber:- HM
Malah, Cheng Hoe yang memiliki hubungan yang baik dengan pemain tempatan dilihat mampu menjadi ‘jambatan’ antara pemain tempatan dan pengendali negara, Peter Cklamovski bagi menyampaikan sesuatu maklumat atau sebagainya.