KUALA LUMPUR: Sentuhan pemain berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal antara yang diharapkan ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bagi aksi menentang Myanmar di Stadium Thuwunna, esok.
Cheng Hoe menyifatkan Wan Kuzain sangat bersemangat untuk mewakili Malaysia dan berharap tonggak tengah berusia 28 tahun itu dapat membina keserasian dengan cepat bersama pemain lain selepas kali pertama menyertai Harimau Malaya.
Pengendali berusia 58 tahun itu menegaskan perlawanan pembukaan Kumpulan B berdepan Myanmar sebagai tugas sukar dan penting buat skuad negara bagi memulakan kempen Piala ASEAN 2026 dengan momentum positif sebelum mengharungi aksi seterusnya.
“Jika melihat kepada Kumpulan B, Thailand adalah pasukan pilihan. Saya fikir pasukan lain mempunyai peluang yang sama untuk mara ke pusingan seterusnya. Bagi mana-mana kejohanan, perlawanan pertama sentiasa menjadi yang paling sukar.
“Perlawanan menentang Myanmar ini sangat penting. Kami mempunyai gabungan yang baik antara pemain senior dan pemain bawah 23 tahun, manakala sebahagian daripada mereka menerima panggilan pertama. Jadi, kami berharap dapat memperoleh keputusan yang positif.
“Kami tahu Wan Kuzain sangat bersemangat untuk mewakili Malaysia. Pemain dengan sikap dan keinginan seperti ini perlu diberikan peluang. Kami harap dia dapat membina keserasian dengan pasukan,” katanya.
Memiliki sembilan pemain yang masih belum pernah beraksi di peringkat antarabangsa dalam skuadnya, Cheng Hoe dilihat akan bergantung kepada pemain berpengalaman seperti Syafiq Ahmad, Paulo Josue dan Mohamadou Sumareh.
Malaysia pernah menjuarai kejohanan tertinggi Asia Tenggara itu sekali iaitu pada 2010, ketika Cheng Hoe menjadi penolong jurulatih kepada Datuk K Rajagobal.
Beliau juga mengendalikan pasukan pada 2018 dengan Malaysia muncul naib juara selepas tewas menerusi agregat 2-3 kepada Vietnam dalam perlawanan akhir.
Cheng Hoe bagaimanapun berdepan tugas lebih sukar kali ini apabila tidak dapat menggunakan khidmat ramai pemain bintang seperti Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Stuart Wilkin.