sukan

Cherki ikrar mahu ‘bunuh’ United selepas sertai City

MIAMI, Amerika Syarikat: Pemain baharu Manchester City, Rayan Cherki membuat kenyataan berani apabila menyatakan hasrat untuk ‘membunuh’ seteru utama Manchester United musim depan susulan perpindahannya dari Olympique Lyonnais ke kelab bekas juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Cherki, 21, menyertai City dengan nilai perpindahan sekitar £30 juta (RM172 juta) dan menyasarkan aksi menentang Manchester United sebagai medan membalas dendam terhadap kekalahan bekas kelabnya, Lyon kepada Red Devils dalam saingan Liga Europa musim lalu.

“Saya tidak suka apabila Manchester United menang ke atas Lyon kerana saya berasal dari Lyon. Kini, saya menanti peluang bertemu mereka… untuk menewaskan mereka habis-habisan,” kata Cherki ketika ditemui media Britain selepas sesi latihan City menjelang aksi pembukaan Piala Dunia Kelab menentang Wydad AC dari Maghribi.

Pemain tengah kreatif itu turut mendedahkan perbualan secara langsung bersama pengendali City, Pep Guardiola menjadi faktor utama keputusannya menyertai kelab Etihad itu.

“Ketika saya bercakap dengan Pep, beliau amat jelas. Sistem permainan, kelab dan bandar ini amat serasi dengan apa yang saya mahukan. Saya datang untuk menang dan City juga mahu menjuarai segala-galanya,” katanya.

Cherki, yang menandatangani kontrak lima tahun hingga 2030, menyatakan impiannya untuk memenangi Ballon d’Or suatu hari nanti dan yakin gaya permainan City akan membantunya berkembang ke tahap tertinggi.

Dia dijangka memainkan peranan penting dalam era baharu Manchester City selepas pemergian Kevin De Bruyne, dengan kebolehannya beraksi sebagai pemain tengah menyerang, serta di posisi sayap kiri atau kanan mengikut keperluan taktikal Guardiola.

Musim lalu, Cherki meledak 12 gol dan 20 umpanan gol dalam semua pertandingan bersama Lyon, sekali gus menarik minat beberapa kelab besar Eropah sebelum memilih untuk berkelana ke Manchester. – AGENSI