sukan

Chong Wei cabar dua pemain perseorangan lelaki negara

KUALA LUMPUR: Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Seri Lee Chong Wei melontarkan cabaran kepada dua pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao dan Justin Hoh untuk melangkaui had kemampuan bagi melonjakkan prestasi mereka menjelang saingan Piala Thomas di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini.

Chong Wei yang juga Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui kedua-dua pemain itu masih bergelut dengan prestasi tidak menentu, termasuk dalam siri kejohanan di Eropah baru-baru ini.

Berdasarkan kedudukan ranking dunia semasa, Jun Hao yang menghuni ranking ke-23 dunia dijangka menggalas tugas sebagai perseorangan pertama negara, manakala Justin (ranking ke-38 dunia) bakal mengisi slot perseorangan kedua.

Jun Hao terkandas seawal pusingan pertama Terbuka Jerman sebelum melangkah ke pusingan kedua Seluruh England.

Justin pula beraksi dalam tiga kejohanan iaitu Terbuka Jerman, Terbuka Switzerland dan Masters Orleans di Perancis, namun pencapaian terbaiknya sekadar mara ke pusingan kedua di dua kejohanan terakhir.

Bercakap kepada BH Sukan, Chong Wei berkata kedua-dua pemain itu mempunyai isu berbeza dengan Jun Hao dilihat memiliki kualiti permainan yang baik tetapi berdepan masalah kecergasan dan konsistensi.

“Jun Hao ini kalau kita tengok pusingan pertama dan kedua dia bermain hampir sempurna, tiada masalah. Tetapi bila masuk perlawanan penting, dia kurang mengendalikan mata-mata kritikal dengan baik.

“Selain itu, tahap kecergasan dia juga tidak mencukupi. Kita boleh nampak prestasi dia menurun daripada 100 peratus kepada sekitar 60 peratus di pusingan seterusnya,” katanya.

Menurut Chong Wei, situasi itu menyebabkan Jun Hao gagal mengekalkan momentum meskipun berupaya mencipta kejutan ke atas pemain ranking lebih tinggi.

Dalam masa sama, beliau melihat Justin menunjukkan perkembangan positif, namun masih memerlukan lebih banyak pengalaman di pentas antarabangsa.

“Untuk Justin, saya nampak ada peningkatan dan dia bermain lebih matang.

“Tetapi dia masih perlukan lebih banyak pendedahan dan pengalaman. Dari segi kecergasan dan konsistensi juga perlu dipertingkatkan,” katanya.

Chong Wei berkata, sebagai pemain muda, adalah normal untuk Justin berdepan situasi turun naik prestasi termasuk rasa kecewa selepas kekalahan.

“Apa yang penting, dia perlu terus bekerja keras dan belajar daripada setiap perlawanan, lebih-lebih lagi dengan Piala Thomas semakin hampir,” katanya.

Dalam pada itu, Chong Wei menegaskan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada barisan kejurulatihan diketuai pengarah kejurulatihan perseorangan, Kenneth Jonassen serta ketua jurulatih perseorangan lelaki, Tey Seu Bock untuk merangka program latihan terbaik buat kedua-dua pemain.

Katanya, jurulatih lebih memahami keadaan dan perkembangan pemain kerana mereka berinteraksi setiap hari di gelanggang latihan.

“Saya boleh berkongsi pandangan sebagai bekas atlet, tetapi jurulatih lebih tahu kondisi pemain.

“Akhirnya, semuanya bergantung kepada pemain itu sendiri sama ada mereka mahu melangkaui had kemampuan mereka atau tidak. Itu yang paling penting,” katanya.