Kuala Lumpur: Peluang Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk menyumbang pingat kepada negara di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dinilai sukar berdasarkan prestasi semasa ketika proses pemilihan dibuat, kata Datuk Seri Lee Chong Wei.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata, penilaian barisan kejurulatihan diketuai Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky dan ketua jurulatih beregu lelaki, Herry Imam Pierngadi menjadi asas kepada keputusan tidak menyenaraikan Wooi Yik ke temasya berkenaan.
Katanya, jurulatih menilai beberapa aspek termasuk prestasi semasa, peluang meraih pingat serta keperluan menghantar gandingan paling kompetitif ke temasya yang hanya berlangsung empat tahun sekali itu.
“Semasa pemilihan pemain untuk Sukan Asia, jurulatih memberitahu saya berdasarkan prestasi ketika itu, Aaron-Wooi Yik mungkin tidak membawa pulang pingat.
“Kita perlu mencari penyelesaian dan memilih gandingan terbaik untuk Sukan Asia,” katanya.
Chong Wei berkata, keputusan menggandingkan Aaron dengan Tee Kai Wun turut mempunyai risiko kerana mereka adalah kombinasi baharu dan berkemungkinan berdepan lawan lebih kuat pada peringkat awal.
Namun, katanya, barisan kejurulatihan bersedia mempertahankan keputusan itu selepas mengambil kira semua faktor bagi memastikan Malaysia menghantar pasangan paling kompetitif.
Skuad beregu lelaki negara ketika itu sedang melalui proses rombakan dengan jurulatih perlu menilai semua pilihan sebelum menentukan kombinasi terbaik.
Malah, Aaron-Wooi Yik berdepan kemarau kejuaraan selepas kali terakhir muncul juara di Terbuka Singapura tahun lalu.
Chong Wei berkata, prestasi mereka yang meningkat di Kejohanan Dunia apabila muncul naib juara, Ahad lalu tidak mengubah hakikat bahawa pemilihan Sukan Asia perlu dibuat berdasarkan prestasi ketika senarai pemain perlu dihantar.
“Kalau bercakap mengenai prestasi mereka di Kejohanan Dunia, ya mereka bermain dengan baik. Tetapi Kejohanan Dunia berlangsung setiap tahun kecuali tahun Olimpik.
“Sukan Asia pula hanya datang empat tahun sekali, jadi kita perlu menghantar pasangan terbaik terutama selepas satu lagi slot sudah diberikan kepada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani,” katanya.
Menurut Chong Wei, ketika proses pendaftaran pemain perlu dibuat, Aaron-Wooi Yik masih belum mencatat keputusan yang memberangsangkan dalam tempoh hampir setahun.
Menurutnya, Sukan Asia tidak boleh dibandingkan dengan kejohanan Jelajah Dunia BWF kerana senarai pemain perlu dihantar lebih awal dan prestasi semasa menjadi antara pertimbangan utama.
Katanya, barisan kejurulatihan turut mempunyai kebimbangan terhadap perkembangan permainan Wooi Yik yang dilihat tidak menunjukkan peningkatan ketara walaupun kelemahan tertentu sudah dikenal pasti.
“Aaron-Wooi Yik sudah lama bersama dan memang mereka menang Kejohanan Dunia, tetapi mereka tidak pernah menang gelaran Super 1000.
“Ada masa mereka bermain tiga atau empat kejohanan dan kalah kepada lawan yang sepatutnya mereka boleh tewaskan,” katanya.
Beliau berkata, kebimbangan terhadap prestasi Wooi Yik bukan perkara baharu kerana beliau pernah menyuarakan perkara sama selepas menyaksikan aksi pemain itu pada Sukan Asia Hangzhou 2022 ketika hadir sebagai anggota jawatankuasa Road To Gold (RTG).
“Saya tengok dia bermain menentang pasangan India (Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty) dan saya cakap kepada Rexy supaya lihat gambaran lebih besar.
“Kalau Wooi Yik tidak tingkatkan kekuatan, dia akan menghadapi masalah. Ketika Sukan SEA Thailand (2025) menentang pasangan Indonesia (Sabar Karyaman-Reza Pahlevi), anda boleh lihat tekanan yang dia hadapi,” katanya.
Menurut Chong Wei, Aaron-Wooi Yik sememangnya memiliki corak permainan yang baik, namun Aaron sering dilihat membantu menutup kelemahan pasangannya ketika beraksi.
“Perancangan permainan mereka memang bagus, tetapi Aaron selalu ‘cover’ Wooi Yik. Anda boleh nampak dalam cara mereka bermain,” katanya.