sukan

Chong Wei gesa BAM mulakan langkah

KUALA LUMPUR: Tiada masa yang boleh dibazirkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028) perlu bermula dari sekarang.

Itu tegas legenda badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei sekiranya badan induk itu berhasrat untuk mengakhiri penantian panjang sukan itu memenangi pingat emas di pentas Olimpik.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, BAM perlu merangka satu pelan jangka panjang dan konsisten dalam pelaksanaannya sehingga LA2028.

“Saingan badminton di Olimpik Paris sudah berakhir dan kita perlu mula merangka pelan bermula dari sekarang.

“Kita tidak boleh tunggu setahun atau dua tahun lagi untuk melakukan persiapan. Saya percaya negara lain juga akan mulakan persiapan mereka secepat mungkin.

“Kita juga perlu melihat kepada struktur yang ada ketika ini, jika perlu, kita kena buat perubahan sekarang. Kita tidak boleh kerap membuat perubahan dan mengharapkan keputusan yang konsisten,” kata Chong Wei kepada BH Sukan.

Jelas Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali, perubahan tidak boleh dibuat selalu kerana ia mampu memberi kesan kepada perkembangan pemain.

Katanya, untuk seorang pemain menyesuaikan diri dengan program dan regim latihan jurulatih baharu, ia memerlukan masa enam hingga sembilan bulan.

“Jadi, jika perubahan selalu dilakukan, ia sukar untuk kita mendapat keputusan yang konsisten di peringkat Olimpik.

“Bukan mudah untuk menyesuaikan corak latihan daripada jurulatih baharu malah jurulatih juga akan perlu mengambil masa untuk mengenali perwatakan dan perangai pemain bimbingannya.

“Namun, ada masanya kita melihat selepas setahun jika jurulatih tidak bawa keputusan yang positif, mereka akan dilepaskan.

“Sebab itu, jika kita mahu buat perubahan, perlu buat sekarang dan kekal dengan pelan jangka panjang,” kata bekas pemain nombor satu dunia itu.

Chong Wei turut memberi contoh bagaimana bekas pemain Korea Selatan, Park Joo Bong memikul tanggungjawab selaku ketua jurulatih skuad badminton Jepun selama 20 tahun.

Bekas pemenang emas beregu lelaki Olimpik Barcelona 1992 itu berjaya menjadikan Jepun dari negara kerdil kepada gergasi badminton dunia sepanjang tempoh dia bersama pasukan berkenaan.

“Park Joo Bong sudah bersama Jepun sejak sekian lama dan ia membuktikan kepada kita yang pelan jangka mampu memberi impak yang positif kepada sesebuah negara.

“Sekarang ini, Rexy (Mainaky) adalah pengarah kejurulatihan, dia perlu diberikan kebebasan untuk menentukan perancangannya tetapi pada masa sama dia juga perlu bertanggungjawab jika kita gagal empat tahun akan datang,” katanya.

Saingan badminton di Sukan Olimpik Paris melabuhkan tirainya, semalam dengan Malaysia sekali lagi gagal untuk memenangi emas.

sumber:-BH

Bagaimanapun, barisan pemain negara membawa pulang dua gangsa menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia.