Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei melihat perkembangan positif ditunjukkan Leong Jun Hao dalam latihan dan percaya perseorangan utama negara itu masih mempunyai ruang untuk meningkatkan prestasi menjelang cabaran lebih besar.
Chong Wei yang juga Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkata, maklum balas daripada barisan kejurulatihan menunjukkan Jun Hao kini semakin baik dan mula memahami perkara yang diperlukan untuk mencapai tahap lebih tinggi.
“Jun Hao memang kita anggap sebagai perseorangan pertama Malaysia. Saya rasa sekarang dia sudah lebih baik. Saya boleh nampak daripada latihan dan jurulatih juga memberikan maklum balas yang semakin baik.
“Saya harap dia sudah tahu apa yang dia perlukan dan apa yang dia mahukan,” kata Chong Wei.
Menurut Chong Wei, Jun Hao masih mempunyai peluang untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28), namun segala-galanya bergantung kepada perkembangan prestasi dan keadaannya dalam tempoh mendatang.
Katanya, pengalaman yang dimiliki Jun Hao ketika ini perlu dimanfaatkan untuk membentuk kematangan serta keyakinan dalam menghadapi pemain terbaik dunia.
“Dia mungkin masih boleh mengejar Olimpik LA28. Kita tengok keadaan dia nanti. Yang penting, dia perlu ada kemahuan untuk menang dan terus berusaha meningkatkan diri,” katanya.
Chong Wei berkata, beliau tidak mahu membandingkan generasi pemainnya dengan barisan pemain masa kini, sebaliknya mahu terus membantu berdasarkan apa yang boleh dipelajari daripada perkembangan badminton dunia.