KUALA LUMPUR: Vietnam jelas menjadi badi buat skuad Harimau Malaya selepas kali terakhir skuad negara meraih kemenangan ke atas pasukan di ranking ke-109 dunia itu 11 tahun lalu.
Selepas itu, lapan pertemuan membabitkan dua pasukan itu menyaksikan skuad Naga Emas menang tujuh daripadanya dan hanya satu perlawanan berakhir dengan keputusan seri sekali gus menyaksikan pasukan itu jelas lebih baik berbanding Malaysia.
Dua pasukan ini akan berentap bagi aksi pertama Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini dan rekod ‘ngeri’ ini turut menjadi perhatian pengendali skuad negara, Peter Cklamovksi.
Namun Cklamovksi menegaskan, barisan pemainnya akan memberikan yang terbaik untuk mengubah sejarah lampau dan bersedia memberi cabaran yang sengit apabila melayan kunjungan Vietnam.
“Kami tidak fokuskan kepada satu pemain sebaliknya fokus kepada 11 pemain Vietnam. Kita tahu yang kita belum lagi menewaskan Vietnam sejak 11 tahun lalu dan kami menghormati Vietnam sebagai satu pasukan.
“Vietnam sememangnya satu pasukan yang amat baik. Kami akan memberikan yang terbaik dan inilah detiknya untuk kami cuba mengubah sejarah. Kami tidak sabar menantikan cabaran pada 10 Jun nanti,” kata Cklamovksi.
Sebagai rekod, skuad negara menguji pasukan di ranking ke-72 dunia, Cape Verde sebanyak dua kali iaitu pada 29 Mei yang berakhir dengan keputusan 1-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Dua pasukan itu kemudiannya berentap untuk aksi berstatus perlawanan latihan yang berlangsung secara tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Dua perlawanan ini adalah sebagai persiapan sebelum aksi penting menentang Vietnam bagi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kedua-dua pasukan ini membuka kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan cemerlang yang menyaksikan Malaysia menewaskan Nepal 2-0 manakala Vietnam membenam Laos 5-0.
Kelebihan jaringan menyaksikan Vietnam mendahului Malaysia dalam kedudukan Kumpulan F meskipun masing-masing menghimpun tiga mata.
sumber:- BH
Aksi Kelayakan Piala Asia 2027 ini lebih sukar memandangkan hanya juara kumpulan akan mendapat slot ke pusingan akhir yang akan berlangsung di Arab Saudi.