Kuala Lumpur: Ketiadaan penyerang naturalisasi baharu, Jordan Mintah dalam aksi menentang Laos malam kelmarin akhirnya terjawab apabila jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski, mengesahkan pemain itu masih menunggu dokumen penting bagi melengkapkan proses naturalisasi.
Malaysia mencatat kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Laos dalam pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 hasil jaringan Arif Aiman Hanapi, Dion Cools dan Faisal Halim di babak kedua.
Namun, di sebalik kemenangan bergaya itu, ramai peminat tertanya-tanya mengenai ketiadaan nama Mintah dalam senarai 23 pemain yang didaftarkan ke Stadium Nasional, Vientiane, kelmarin.
Cklamovski menjelaskan bahawa perkara berkenaan berada di luar kawalannya kerana ia melibatkan urusan rasmi berkaitan proses dokumentasi pemain.
“Saya tak pasti (peluang Jordan Mintah beraksi Selasa ini) kerana ini adalah dokumen yang diperlukan untuk proses naturalisasi beliau selama lima tahun.
“Ia di luar kawalan saya. Saya hanya akan dimaklumkan apabila proses itu diluluskan, dan apabila beliau diluluskan, barulah beliau layak untuk dipilih menyertai pasukan,” kata jurulatih kelahiran Australia itu.
Menurut Cklamovski, beliau percaya kehadiran penyerang Kuching City FC itu mampu menambah variasi serangan pasukan, namun segalanya bergantung kepada kelulusan dokumen berkenaan.
Difahamkan, sekiranya urusan itu selesai mengikut jadual, Mintah berkemungkinan besar akan disenaraikan bagi aksi timbal balik menentang Laos pada Selasa ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Isu dokumentasi yang hampir selesai, peminat Harimau Malaya kini menantikan detik debut rasmi penyerang kelahiran Ghana itu bersama skuad kebangsaan.