KUALA LUMPUR: Pengendali utama skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski tidak menolak kemungkinan sentuhan pemain berdarah warisan ataupun ‘Malaysia Abroad’ bakal memperkuatkan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara khususnya menjelang pusingan Kelayakan Piala Asia 2026, September ini.
Jelas Cklamovski, ketika ini beberapa calon pemain muda berdarah warisan yang berpangkalan di luar negara sudah ditemui dan perlu melalui beberapa fasa di mana ia memakan sedikit masa.
Ujarnya, beliau tidak mahu mendedahkan identiti pemain berkenaan dengan memilih untuk mengunci mulut bagi menghormati proses yang sedang berjalan.
“Saya rasa ada kemungkinan (pemain warisan B-23) kerana sebahagian daripada proses kami adalah mengenal pasti beberapa pemain muda juga. Tetapi ada proses yang perlu dilalui untuk pemain muda ini.
“Kami sudah mengenal pasti beberapa pemain mengikut kumpulan umur. Masa akan tentukan (tunggu pengumuman),” katanya ketika ditemui pada sesi minum petang santai bersamanya semalam.
Ditanya adakah sempat pemain warisan B-23 itu menyertai pasukan di Kelayakan Piala Asia B-23 September ini, jurulatih dari Australia itu berharap semua pihak agar bersabar.
“Tidak pasti. Ia di luar bidang kuasa saya untuk jawab hari ini (semalam). Saya tidak pasti,” katanya.
Selepas tersingkir awal pada saingan Piala AFF B-23 di Indonesia Isnin lalu, terdapat gesaan agar skuad Harimau Muda turut merekrut pemain warisan seperti mana dilakukan pasukan senior negara bagi menambah kekuatan menjelang pusingan kelayakan nanti.
Lawan lebih sukar menunggu Malaysia pada kempen Kelayakan Piala Asia B-23 apabila Thailand selaku tuan rumah, Lubnan dan juga Mongolia bakal menanti anak buah Nafuzi Zain di Bangkok.
Mengulas lanjut, Cklamovski akui skuad B-23 perlu layak ke Piala Asia 2026 yang dijadual berlangsung di Arab Saudi pada Januari tahun depan.
“Sudah tentu mereka (skuad B-23 negara) perlu ambil pengajaran daripada Piala AFF baru-baru ini dalam peringkat kumpulan.
sumber:- HM
“Belajar daripadanya untuk jadi lebih baik, dan gunakan pengalaman itu dalam kelayakan September untuk dapatkan keputusan yang diperlukan bagi melayakkan diri ke Piala Asia,” katanya.