KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya perlu menyelesaikan ‘tugas’ mereka berdepan Cape Verde dalam dua aksi persahabatan terlebih dahulu sebelum boleh mengalihkan tumpuan kepada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, 10 Jun ini.
Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski mengakui belum lagi masanya untuk mereka berfikir mengenai pertembungan dengan Vietnam memandangkan mereka bakal berdepan Cape Verde yang dianggap sama penting dalam rangka persiapan bagi kem latihan pusat kali ini.
Tegas pengendali dari Australia itu, mereka perlu menghormati Cape Verde sekali gus menyaksikan mereka akan menurunkan barisan terbaik untuk aksi persahabatan Tier 1 membabitkan dua pasukan itu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam esok.
“Perlawanan menentang Vietnam masih jauh lagi tetapi ini (aksi menentang Cape Verde) adalah satu persiapan yang besar untuk perlawanan itu. Apa yang penting ialah bola sepak adalah satu perlawanan yang unik dan kita perlu menghormati semua lawan kita.
“Kita perlu memberikan persembahan berpasukan yang terbaik dan turun dengan mentaliti yang kuat tanpa mengira siapa pun lawan kita. Perkara seperti ini yang akan menghubungkan kita sebagai satu pasukan.
“Siapa pun yang akan bermain nanti, 11 pemain di atas padang akan tunjukkan apa maknanya bermain untuk Malaysia. Ini satu perlawanan yang menarik menentang pasukan yang baik,” kata Cklamovski pada sidang media praperlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, hari ini.
Sebagai rekod, skuad negara akan menentang Cape Verde yang ketika ini berada di ranking ke-72 dunia sebanyak dua kali iaitu malam esok serta aksi tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 Jun.
Dalam perkembangan sama, Cklamovski menjelaskan aksi menentang Cape Verde perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana Cape Verde memiliki corak permainan yang hampir sama dengan Vietnam sekali gus bakal membantu persiapan skuad negara.
“Kita akan gunakan perlawanan ini sebaik mungkin walaupun kita tahu ini adalah satu cabaran yang besar. Cape Verde dan Vietnam hampir serupa dari segi fizikal, kekuatan, kepantasan dan corak permainan yang ‘direct’.
sumber:- BH
“Jadi, menarik untuk kita saksikan bagaimana kita boleh mendapatkan sesuatu daripada perlawanan ini. Perlawanan menentang pasukan yang kuat seperti ini akan membantu perkembangan kita sebagai sebuah pasukan,” katanya.