sukan

Cklamovski sah panggil Jordan Mintah perkuatkan Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya bakal tampil dengan wajah berbeza dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 susulan tujuh pemain warisan digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus membuka peluang kepada individu lain untuk bersama pasukan kebangsaan.

Daripada 29 pemain dipanggil jurulatih negara, Peter Cklamovski, tumpuan pastinya terarah kepada penyerang naturalisasi terbaru, Jordan Mintah yang bakal membuat debut pertama bersama Harimau Malaya selepas proses dokumentasinya selesai.

Ketiadaan tujuh pemain warisan termasuk Facundo Garces dan Rodrigo Holgado yang digantung 12 bulan oleh FIFA nyata merobek kekuatan pasukan, namun ia memberi ruang kepada pemain lain untuk merebut tempat.

Selain Garces dan Holgado, lima lagi pemain iaitu Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel turut digantung kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Mereka bukan sahaja tidak boleh beraksi, malah turut dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) seorang manakala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut menerima tamparan apabila dihukum denda CHF350,000 (RM1.8 juta).

Situasi getir ini bagaimanapun dilihat sebagai peluang pemain lain mengisi kekosongan terbabit dengan nama seperti Richard Chin, Ubaidullah Shamsul serta Ramadhan Saifullah kini mendapat perhatian.

Bahagian pertahanan kini kembali digalas oleh tonggak utama seperti Dion Cools, Shahrul Saad, Dominic Tan dan La’Vere Corbin-Ong.

Di posisi tengah pula, kombinasi Afiq Fazail, Nazmi Faiz, Nooa Laine serta Stuart Wilkin dijangka menjadi nadi penggerak, manakala bahagian serangan menyaksikan gandingan penuh sensasi Arif Aiman, Faisal Halim, Romel Morales serta muka baharu, Mintah.

Turut dipanggil ialah penyerang berpengalaman Paulo Josue serta Safawi Rasid dengan motivasi tinggi selepas prestasi memberangsangkan bersama Kuala Lumpur City FC.

Cklamovski jelas mahu menguji pelbagai opsyen dalam skuad kendaliannya, apatah lagi jadual kelayakan kali ini menuntut persediaan rapi dengan senarai pemain yang lebih seimbang.

Dengan Mintah menjadi wajah baharu yang paling ditunggu-tunggu dan kehilangan tujuh pemain warisan akibat hukuman FIFA, Harimau Malaya kini berada di persimpangan penting sama ada mampu terus garang di pentas Asia atau sebaliknya bergelut mencari rentak.

Mengikut rekod, kem latihan skuad Harimau Malaya akan bermula Isnin ini bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan F bertemu pasukan Laos di Vientianeada 9 Oktober dan aksi timbal balik lima hari kemudian di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Skuad negara ketika ini mendahului Kumpulan F hasil dua kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam sebelum ini.

Senarai 29 Pemain Harimau Malaya

PENJAGA GOL

1.Azri Ghani

2.Haziq Nadzli

3.Syihan Hazmi

PERTAHANAN

4. Azam Azmi

5. Corbin Ong

6. Daniel Ting

7. Declan Lambert

8. Dion Cools

9. Dominic Tan

10. Harith Haiqal

11. Junior Eldstål

12. Richard Chin

13. Shahrul Saad

14. Quentin Cheng

15. Ubaidullah Shamsul

TENGAH

16. Afiq Fazail

17. Endrick Dos Santos

18. Nazmi Faiz

19. Nooa Laine

20. Sergio Agüero

21. Stuart Wilkin

PENYERANG

22. Aliff Izwan

23. Arif Aiman

24. Faisal Halim

25. Jordan Mintah

26. Paulo Josue

27. Ramadhan Saifullah

28. Romel Morales

29. Safawi Rasid