KUALA LUMPUR: Pengendali baharu skuad kebangsaan, Peter Cklamovski mengakui bersedia untuk menghadapi sebarang tekanan dalam usaha membawa impak positif buat Harimau Malaya.
Malah, jurulatih dari Australia itu menjelaskan bahawa dia mempunyai cara untuk mengatasi tekanan sambil menganggap ia bukan masalah besar untuknya mengendalikan skuad negara.
“Tekanan itu sentiasa ada dalam bola sepak kerana kerjaya saya tidak datang tanpa tekanan setiap hari.
“Saya sukakannya, jadi satu cara untuk menghadapi tekanan itu adalah dengan fokus mengenai apa yang perlu kita lakukan. Saya akan fokus sepenuhnya pada itu,” katanya.
Cklamovski berkata demikian dalam temu bual yang disiarkan di YouTube Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.
Bekas pengendali FC Tokyo itu turut bertekad untuk meneruskan sentuhan ’emasnya’ sekali gus menjadikan bola sepak negara meningkat ke tahap yang lebih baik.
Katanya, semua pihak yang terbabit perlu bekerja keras dalam merealisasikan misi itu dengan dia akan mencurahkan segala pengalaman yang dimiliki untuk membantu Malaysia.
“Sebelum ini, empat tahun bersama ‘Socceroos’, kami berjaya mencapai sesuatu untuk skuad kebangsaan dengan memenangi Piala Asia dan layak ke satu lagi edisi Piala Dunia.
“Saya merasai apa yang boleh dilakukan dengan pengalaman dan datang ke projek dipimpin Tunku Mahkota Ismail, dengan cita-cita beliau serta semangat dan komitmen semua pihak yang boleh dimanfaatkan demi mencipta kemajuan.
sumber:-BH
“Kita harus rendah diri kerana kita perlu tahu di mana kita ketika ini. Kita perlu kerja keras bersama-sama, langkah demi langkah untuk menuju kejayaan,” katanya.