sukan

Cklamovski tetap pertahankan TMJ

Kuala Lumpur: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski tampil mempertahankan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, susulan kritikan yang dilemparkan terhadap baginda susulan kemelut membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Cklamovski menegaskan segala kecaman yang dilemparkan kepada Tunku Ismail adalah tidak adil kerana baginda bukan pihak yang menyebabkan isu pentadbiran yang kini membelenggu FAM.

“Daripada apa yang saya diberitahu, terdapat banyak komen negatif terhadap TMJ (Tunku Ismail), yang tidak adil dan tidak wajar.

“Baginda adalah seorang pemimpin yang berwawasan. tanpa TMJ, bola sepak Malaysia sudah lama tamat,” katanya, dalam sidang media selepas tamat perlawanan menentang Laos, malam tadi.

Menurut jurulatih dari Australia itu, Tunku Ismail memainkan peranan penting dalam memastikan skuad kebangsaan berada pada tahap profesional, termasuk menyediakan kemudahan terbaik untuk pemain dan pegawai pasukan.

“Siapa yang mendapatkan sokongan dana daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk pasukan kebangsaan? TMJ. Siapa yang menaikkan standard profesional dengan memastikan kami tiba di lokasi perlawanan menggunakan penerbangan sewa khas? TMJ juga.

“Beliau memberikan segala sokongan agar kami dapat beraksi pada tahap terbaik. Semua kekacauan yang berlaku dengan FIFA itu bukan kesilapan TMJ,” katanya.

Cklamovski turut menegaskan, dalam situasi sukar yang sedang dihadapi ketika ini, semua pihak perlu bersatu dan tidak menuding jari kepada individu yang selama ini banyak berkorban untuk kemajuan bola sepak negara.

“Tanpa TMJ, bola sepak Malaysia tidak akan sampai ke tahap sekarang. Beliau pemimpin yang benar-benar mengambil berat tentang kemajuan pasukan,” katanya.

Mengikut rekod, FIFA menggantung tujuh pemain iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel selama 12 bulan serta denda.

Dalam laporan rasmi bertajuk “Notification of the Grounds of the Decision”, Jawatankuasa Tatatertib FIFA menjelaskan bahawa hukuman itu dikenakan susulan pelanggaran di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA babitkan pemalsuan serta pengubahsuaian dokumen rasmi.

Susulan itu, FAM bakal membuat rayuan kepada FIFA bagi menuntut keadilan terhadap tujuh tonggak terbabit.