Cklamovski yakin bintang sensasi Harimau Malaya akan bangkit lebih kuat

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski yakin bintang sensasi Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi akan bangkit lebih kuat selepas pulih daripada kecederaan hamtring yang dialaminya ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027, bulan lalu.

Arif Aiman dilaporkan selamat menjalani pembedahan dengan doktor sukan terkemuka, Lempainen Lasse pada Selasa lalu, namun tidak dapat dipastikan berapa lama tempoh diperlukan untuk bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu pulih sepenuhnya dan dapat kembali ke padang.

Apa yang pasti, harapan tinggi diletakkan semua pihak khususnya pasukan kebangsaan terhadap tonggak berusia 23 tahun itu supaya dia kembali berada pada prestasi terbaik menjelang aksi terakhir kempen kelayakan menentang Vietnam, 31 Mac tahun depan.

Cklamovski juga percaya bahawa Arif Aiman akan melalui proses pemulihan yang betul dan mendapatkan kembali sentuhan ‘berbisa’ di atas padang selepas pulih nanti.

“Berita yang baik apabila dia (Arif Aiman) selamat menjalani pembedahan dan saya fikir kita perlu bersabar, ini fasa awal pemulihan. Dia dijaga dengan baik, amat baik. Dia akan melalui proses pemulihan yang betul. Saya tahu dia akan kembali dengan baik selepas dapat berlatih dan beraksi semula.

“Dia pemain yang berbakat, memiliki potensi yang kita semua tahu dan dia akan menggunakan dugaan ini untuk menjadikannya kisah positif untuk dirinya, kelabnya dan pasukan kebangsaan.

“Mungkin masih terlalu awal untuk menilainya (sama ada Arif Aiman boleh beraksi atau tidak menentang Vietnam). Kita tengok bagaimana perkembangannya nanti. Risau bukan perkataan yang tepat, saya harap yang terbaik untuk dia,” katanya.

Arif Aiman mengalami kecederaan ketika menentang Nepal pada aksi kelima Kumpulan F di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 18 November lalu.

Pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia empat kali berturut-turut itu hanya sempat beraksi kira-kira lapan minit sebelum terpaksa dikeluarkan dan tempatnya digantikan dengan penjaring gol tunggal perlawanan, Faisal Halim.

Kenyataan JDT di laman sosial kelab, kelmarin melegakan peminat apabila memaklumkan Arif Aiman selamat menjalani pembedahan di Finland dengan Lasse bukan calang-calang doktor sukan apabila dia pernah merawat beberapa atlet sukan termasuk pemenang Ballon d’Or 2025, Ousmane Dembele.