KUALA TERENGGANU: Bekas pengendali sementara Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali secara rasmi dinaikkan ‘pangkat’ sebagai ketua jurulatih skuad itu bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.
Pengumuman anak jati Terengganu berasal dari Kemaman menduduki kerusi ‘panas’ itu dimaklumkan Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd melalui kenyataan kelab berkenaan pada malam ini.
Badrul Afzan yang lebih mesra dipanggil ‘Coach Bad’ itu menandatangani kontrak membimbing skuad Penyu itu selama semusim iaitu bermula 1 Julai 2025 sehingga 31 Mei 2026.
“TFC hari ini secara rasminya mengumumkan Badrul Afzan Razali dilantik sebagai ketua jurulatih TFC bagi musim ini bermula 1 Julai 2025 sehingga 31 Mei 2026.
“Keputusan untuk melantik Badrul Afzan ini telah pun dimuktamadkan oleh barisan Ahli Lembaga Pengarah Terengganu Football Club Sdn Bhd dengan mengambil kira pelbagai aspek penting bagi memastikan kelab ini mampu bergerak lebih positif bagi menghadapi musim baharu saingan Liga M.
“Badrul Afzan telah dipertanggungjawabkan untuk mempersiapkan pasukan secara keseluruhan termasuklah daripada sudut pemilihan barisan kejurulatihan serta pemain.
“TFC dijangka akan memulakan latihan rasmi bermula 1 Julai ini dan dijangka semua pemain termasuk tonggak import akan turun menjalani latihan berkenaan dan pada masa sama Badrul Afzan telah pun berjaya mendapatkan beberapa pemain baharu bagi memperkuatkan pasukan.
“Pengurusan kelab mengucapkan selamat berjuang buat Badrul Afzan, semoga tahun ini beliau dapat membawa pasukan lebih cemerlang serta dapat membawa pulang kejuaraan ke bumi Darul Iman,” demikian menurut kenyataan itu.
Pada musim lalu, Badrul Afzan yang mengambil alih tugas daripada pengendali terdahulu, Tomislav Steinbruckner yang melepaskan jawatan pada awal Oktober berjaya membantu pasukan itu menamatkan saingan Liga Super di tempat kelima serta layak ke separuh akhir Piala Malaysia.
Selain itu TFC juga antara pencabar terkuat dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN bagi merebut Piala Shopee.
sumber:- HM
Dengan pengumuman secara rasmi itu menyaksikan skuad Penyu akan terus dibimbing tenaga tempatan biarpun sebelum ini desas-desus mengaitkan skuad itu bakal dibimbing jurulatih import.