sukan

Copa America: Panama berjaya menempah slot ke suku akhir

FLORIDA: Panama menewaskan Bolivia 3-1 untuk mengakhiri saingan Kumpulan C di tangga kedua dan mara ke suku akhir Copa America, sebentar tadi.

Kejayaan Panama menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik turut dibantu dengan kekalahan tuan rumah, Amerika Syarikat (AS) 0-1 di tangan Uruguay sekali gus tersingkir daripada kejohanan.

Panama baru kali kedua beraksi dalam saingan Copa America dan kemenangan membolehkan mereka mengutip enam mata, tiga mata di depan AS.

Sebagai rekod, ini adalah kali pertama Panama melayakkan diri ke pusingan kalah mati Copa America.

Uruguay muncul juara Kumpulan C selepas mengumpul sembilan mata.

Bolivia memerlukan kemenangan untuk kekal dalam kejohanan tetapi Panama mula meleburkan impian lawan itu apabila Jose Fajardo meledak gol pertama pada minit ke-22.

Bagaimanapun, Bolivia berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Bruno Miranda pada minit ke-69 tetapi Eduardo Guerrero kembali meletakkan Panama di depan apabila meledak gol kedua pasukan 10 minit kemudian.

sumber:-BH

Gol ketiga Panama hadir menerusi jaringan Cesar Yanis pada lewat minit permainan. – REUTERS