JOHOR BAHRU: Bek kiri Johor Darul Ta’zim (JDT), Corbin Ong mengakui aksi menentang Terengganu FC (TFC) tampak mencabar namun optimis mampu membawa pulang bekalan selesa dari Stadium Sultan Mizan, Gong Badak pada pertembungan separuh akhir pertama Piala Malaysia, Jumaat ini.
Malah pemain kebangsaan itu optimis persiapan yang jitu bakal dibentuk ketua jurulatih, Hector Bidoglio bagi menghadapi skuad kendalian Badrul Afzan Razali yang pasti akan tampil dengan corak permainan agresif pada perlawanan itu nanti.
“Setiap kali JDT menentang Terengganu FC ia pasti menampilkan perlawanan berintensiti tinggi. Mereka dibarisi kombinasi mantap pemain senior dan muda yang pasti mahu membuktikan kredibiliti apabila beraksi di tempat sendiri.
“Bagaimanapun, kami tidak akan beri laluan mudah buat mereka, sebaliknya kami akan membuat persiapan rapi kerana kami juga mahu buru kemenangan untuk membawa pulang bekalan selesa malah tempoh seminggu selepas aksi Sabah, baru-baru ini beri ruang untuk kami memperkemaskan kelemahan yang ada.
“Agak menarik kerana kami akan bertemu Terengganu dalam tiga perlawanan berturut-turut dengan aksi Piala Malaysia pada Jumaat ini disusuli aksi Liga Super pada 25 Januari ini dan kemudiannya aksi kedua separuh akhir 1 Februari depan,” kata Corbin.
Untuk rekod dalam aksi final piala berprestij musim lalu, skuad Harimau Selatan yang dibimbing Esteban Solari berjaya menewaskan Terengganu FC 3-1 yang ketika itu dibimbing Tomislav Steinbruckner pada aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Corbin juga menganggap pertemuan menentang skuad Penyu ibarat ulangan final pada musim lalu malah akan beri persembahan terbaik seandainya diturunkan beraksi dalam kesebelasan utama pada perlawanan itu.
Ditanya sama ada JDT mampu mempertahankan kejuaraan piala berprestij yang dimenangi pada musim lalu, pemain kelahiran England itu menegaskan setiap musim cabaran tampak lebih getir namun akan berusaha bagi memastikan piala berkenaan kekal di bumi Johor.
“Setiap musim amat berbeza dan beri cabaran buat kami, saingan liga berbeza dengan aksi Piala Malaysia malah saya berharap JDT akan menang tapi usaha itu penting kerana setiap saat dan minit permainan amat getir.
sumber:-BH
“Malah sebelum turun beraksi, kami akan mengadakan perbincangan dan menganalisa corak taktikal permainan lawan kerana setiap minggu kami menentang pasukan yang berbeza dan kini tumpuan untuk menilai pasukan TFC dengan mengenal pasti pendekatan corak permainan pasukan itu,” katanya.