RIYADH: Bintang Al-Nassr, Cristiano Ronaldo melengkapkan kempen penuh pertamanya di Liga Pro Saudi dengan memecahkan rekod jaringan semusim liga berkenaan.
Penyerang Portugal berusia 39 tahun itu meledak dua gol ketika kemenangan 4-2 ke atas Al-Ittihad pada perlawanan terakhir musim ini.
Keseluruhan, Ronaldo menjaringkan 35 gol liga, mengatasi rekod sebelumnya yang dipegang bekas penyerang Al-Nassr dari Maghribi, Abderrazak Hamdalah yang meledak 34 gol pada musim 2018-19.
Pada perlawanan terakhir di Stadium Al-Awwal, Ronaldo, yang dua jaringannya sebelum itu dibatalkan kerana ofsaid, menerima hantaran Mohammed Al-Fatil untuk meledak gol pertama Al-Nassr.
Ketika perlawanan berbaki 21 minit, pemenang lima kali Ballon d’Or itu menanduk masuk bola sepakan sudut Marcelo Brozovic untuk memecahkan rekod jaringan Hamdalah.
Dia digantikan lima minit kemudian dan menerima tepukan gemuruh penyokong tuan rumah.
Sepanjang musim ini, Ronaldo meledak empat hatrik dan hanya sekali dilayangkan kad merah. Dia turut digantung kerana menunjukkan isyarat tidak sopan kepada penyokong Al-Shabab pada Februari.
sumber:-BH
Ronaldo, yang pernah beraksi untuk Sporting Lisbon, Manchester United, Real Madrid dan Juventus, menyertai Al-Nassr pada Januari 2023. – AGENSI