Lebih 11 tahun selepas kemenangan terakhir Malaysia ke atas Vietnam, pengendali sementara Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kembali berdepan peluang untuk menamatkan penantian itu apabila bertemu pasukan itu dalam perebutan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 di Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, esok.
Kemenangan terakhir Malaysia ke atas Vietnam hadir pada tahun 2014 apabila skuad kendalian Dollah Salleh mencipta kejutan dengan menewaskan tuan rumah 4-2 di Stadium My Dinh, Hanoi pada aksi separuh akhir Piala ASEAN, sekali gus mara ke final dengan kemenangan agregat 5-4.
Selepas itu, Harimau Malaya gagal mengulangi pencapaian berkenaan dalam pertemuan berikutnya, termasuk tewas dalam sembilan aksi terakhir sejak keputusan seri 2-2 pada tahun 2018.
Cheng Hoe yang mengakui sudah lama menyimpan cita-cita untuk menewaskan Vietnam mahu menggunakan peluang kali ini bagi mendapatkan keputusan positif, walaupun sedar cabaran yang menanti bukan mudah.
“Memang saya juga dah tanamkan cita-cita nak menang dengan Vietnam dan juga ada keinginan untuk dapatkan keputusan yang positif kerana untuk 10 tahun kita tidak menang dengan Vietnam.
“Kita tahu kekuatan mereka bukan sahaja dari bahagian serangan dan mereka juga ada penambahan pemain naturalisasi mereka dari bahagian pertahanan,” kata Cheng Hoe.
Bagi Cheng Hoe, fokus utama ketika ini adalah memastikan pemain mendapat pemulihan terbaik selepas melalui aksi yang padat, selain mengembalikan kekuatan mental sebelum turun menentang Vietnam.
“Kita perlu persediaan yang terbaik kerana pemulihan dari segi mentaliti, daripada segi badan kita perlu kerana pasukan Vietnam juga datangnya satu pasukan yang cukup bersedia juga,” katanya.
Mengikut rekod, pertemuan dengan Vietnam dijadualkan berlangsung esok di GBK, dengan aksi penentuan tempat ketiga dan keempat bermula jam 5 petang waktu Malaysia.
Perlawanan final juga berlangsung di venue sama dengan mempertemukan Indonesia dan Thailand jam 9 malam.