ALOR SETAR – Selepas rundingan untuk memilki saham Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada bulan lalu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT, Datuk Seri Azizul Tandek muncul semula dengan idea terbarunya iaitu menubuhkan kelab bola sepak baharu yang akan diberi nama Darul Aman FC.
Menurut Azizul, kelab baharu berkenaan bakal ditubuhkan seawal tahun hadapan bagi menggantikan KDA FC yang tidak jelas masa depannya ketika ini dengan usahanya kini dalam perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
“Darul Aman FC akan menggantikan KDA FC sekiranya berlaku sebarang perkara yang tidak diingini pada masa akan datang. Kami sudah menyusun atur segala perancangan dengan kedatangan saya ke Kedah ini antaranya adalah untuk mengadakan mesyuarat bersama jawatankuasa penaja.
“Kita akan melalui segala proses diperlukan. Apabila kita baru tubuhkan pasukan, sudah tentu kita perlu bermula dari liga bawahan tetapi selepas itu, kita akan bersaing untuk mendapatkan tempat di Liga Super,” katanya.
Kata Azizul lagi, pasukan baharu yang akan ditubuhkannya itu akan memberi fokus kepada pembangunan anak jati negeri bagi menjadi pemain bola sepak berkualiti untuk negara.
“Kita juga perlu bersifat terbuka untuk menerima kehadiran orang luar bagi memperkasapasukan dan saya sebagai usahawan di negeri ini akan memastikan apa yang dilakukan ini mendatangkan kebaikan kepada rakyat Kedah,” katanya.
Dalam pada itu Azizul juga turut mengulas mengenai notis tuntutan (NOD) dihantar peguamnya kepada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini yang mana beliau belum menerima sebarang maklum balas dari Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) itu walaupun beliau diminta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 10 hari.
“Setakat ini beliau senyap saja dan selepas ini, kita terpaksa menandatangani writ saman untuk beliau jawab di mahkamah. Saya fikir tindakan beliau senyap ini juga adalah satu kelebihan buat kami.
sumber:-BH
“Mungkin beliau tiada jawapan atau pura-pura tak mahu jawab. Saya yakin dapat buktikan di mahkamah bahawa punca pendapatan saya terjejas, disebabkan kenyataan dibuat sebelum ini,” katanya.