sukan

Debaran Harimau Malaya semakin hangat

KUALA LUMPUR: Seberapa pantaskah kadar degupan jantung dan denyutan nadi pengendali skuad Harimau Malaya, Pau Marti Vicente menjelang aksi final Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini?

Skuad kebangsaan hanya selangkah untuk mengubati kekecewaan edisi lalu dan Lubnan menjadi penghalang terakhir untuk mereka daripada menjulang trofi Pestabola Merdeka 2024.

Final malam ini memberi kesempatan terbaik buat Pau Marti mengatasi bekas ‘bosnya’, Kim Pan Gon yang mengendalikan 35 perlawanan bersama skuad kebangsaan sebelum meletak jawatan dan kembali ke tanah airnya.

Namun, di sebalik kecemerlangan Pan Gon ‘push rank’ dan membantu meningkatkan ranking negara, pencapaian pengendali Korea Selatan itu boleh dianggap ‘suam-suam kuku’ memandangkan Pan Gon belum cukup berjaya untuk memenangi sebarang trofi.

Trofi paling hampir buat Pan Gon adalah Pestabola Merdeka tahun lalu namun impiannya lebur di tangan Tajikistan dan hasrat memenangi Piala AFF 2022 juga tidak kesampaian selepas kemaraan mereka disekat Thailand setakat di separuh akhir.

Jika Pau Marti berjaya membawa skuad negara memenangi Pestabola Merdeka, secara tidak langsung dia melakukan apa yang Pan Gon tidak dapat lakukan sebelum ini – memenangi trofi bersama skuad Harimau Malaya.

‘Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air’- kejayaan memenangi Pestabola Merdeka pasti akan ‘mencantikkan’ lagi ‘resume’ bekas jurulatih skuad remaja Barcelona itu.

Bukan sahaja buat Pau Marti namun pemain juga turun dengan misi serampang dua mata kerana bukan setakat mahu menebus kekecewaan, mereka memburu kemenangan pertama ke atas Lubnan.

Berdasarkan rekod, Harimau Malaya pernah menentang Lubnan pada tahun 2017 dan 2018 yang menyaksikan skuad negara tewas dengan jaringan 2-1 dalam kedua-dua aksi itu.

Benar, skuad kebangsaan sentiasa bergelut apabila menentang pasukan dari Timur Tengah dan sejarah lampau menjadi buktinya, tetapi bola sepak bukan bercerita mengenai semalam tetapi hari ini.

Pengurus terkenal di Eropah, Jose Mourinho pernah berkata ‘ketakutan tiada dalam kamus bola sepak saya.’

Kelebihan lebih ‘berat’ kepada Lubnan dengan kedudukan ranking lebih baik dan kelebihan fizikal, namun itu tidak sepatutnya ‘mengendurkan’ tahap keyakinan anak buah Pau Marti bagi aksi malam ini.

sumber:-BH

Apapun, bermainlah dengan hati seperti kata-kata Francesco Totti ; “bermain bola sepak dengan kaki anda adalah satu perkara tetapi bermain dengan hati adalah perkara lebih penting.”